Piala TNB 2024 : TNB, THT, Maybank Dan UITM HA-KPT Ke Separuh Akhir

Tenaga Nasional Berhad (TNB), Terengganu Hockey Team (THT), Maybank dan UITM HA-KPT mengesahkan slot di Separuh Akhir Piala TNB 2024 selepas masing-masing berjaya menewaskan lawan pada aksi suku akhir yang berlangsung.

Separuh akhir pertama yang akan berlangsung pada Selasa, 5 Mac ini akan menemukan TNB dengan UITM HA-KPT sementara THT akan membuat perhitungan menentang Maybank.

Pada aksi suku akhir, TNB ternyata berada di dalam kelas tersendiri. Selepas menewaskan Kuala Lumpur City 7-0 pada suku akhir pertama, TNB hari ini membelasah lawannya itu 17-1 pada aksi suku akhir kedua dan sekaligus menyaksikan mereka melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 24-1.

Pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin nyata puas hati dengan jaringan besar yang diledak oleh pasukannya selain menyifatkan walaupun lawan mereka Kuala Lumpur City merupakan pasukan muda, namun barisan pemainnya nyata tidak mengambil mudah pertemuan tersebut.

“Pemain kami dibarisi oleh pemain kebangsaan dan pemain telah bermain dengan berdisiplin walaupun bertemu dengan pasukan yang bukan tandingan kami. Kami juga menggunakan perlawanan tersebut untuk memperkemaskan kesilapan-kesilapan selain terus membentuk keserasian yang terbaik antara pemain.

“Untuk aksi separuh akhir, kami telah mengetahui kelebihan dan kekurangan lawan berdasarkan aksi pusingan kumpulan. Namun saya dan pasukan tetap akan merangka strategi terbaik agar kami berjaya ke final dan mengapai sasaran untuk muncul juara treble musim ini.

“Saya percaya jika kami memberikan satu perlawanan yang baik dan berjuang berhabis-habisan, kami mampu mengapai sasaran yang ingin kami capai,” jelasnya.

Sementara THT mengesahkan slot separuh akhir menerusi agregat 9-2 hasil kemenangan 5-2 yang diraih keatas Liaoning Men’s Hockey Team pada suku akhir pertama dan terbaru suku akhir kedua yang berlangsung hari ini, mereka menewaskan pasukan daripada China itu, 4-0.

Bagi Ketua Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, empat gol yang terhasil pada separuh masa pertama merupakan perancangan pasukan untuk menjaringkan gol awal, agar pemain-pemain bermain dengan lebih tenang pada separuh masa kedua bagi mengelakkan kepenatan dan kecederaan yang tidak diingini.

“Bertemu Maybank pada separuh akhir nanti, kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan tersebut. Walaupun kami berjaya menewaskan Maybank ketika saingan liga, namun separuh akhir merupakan satu perlawanan yang berbeza.

“Maybank pastinya akan memberikan saingan yang lebih hebat jadi kami akan berhati-hati untuk bertemu dengan mereka. Mereka mempunyai pakar dalam pukulan sudut penalti selain Maybank juga merupakan satu pasukan yang baik dari segi struktur permainan mereka,” ujar Harfizi.

Turut tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir adalah Maybank yang menewaskan TNB Thunderbolts 7-2 pada suku akhir kedua, hari ini. Dengan bekalan kemenangan 7-1 yang dibawa Maybank daripada suku akhir pertama, agregat 14-3 membawa mereka ke pentas separuh akhir dan akan bertemu THT pada pusingan empat pasukan terbaik itu.

Ketua Jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam memuji pemainnya yang telah memberikan aksi yang terbaik untuk mara ke separuh akhir selain berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.

“Kami mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan setakat dua perlawanan dalam perebutan Piala TNB ini, saya amat berpuas hati dengan cara pemain bermain selain mereka telah mengikut arahan yang diberikan.

“Lawan kami THT di separuh akhir, kami tewas dengan mereka pada pusingan liga namun separuh akhir Piala TNB adalah satu perlawanan yang berbeza dan kami akan mempersiapkan pasukan dari segi mental dan fizikal dengan sebaik mungkin.

“Harapan kami tentunya untuk melepasi separuh akhir dan mara ke perlawanan akhir pada tahun ini,” ujar beliau.

Satu lagi perlawanan menyaksikan dua gol penalti stroke yang dijaringkan Zul Pidaus Mizun pada minit ke-14 dan ke-47 serta gol padang Muhammad Muhibuddin Moharam yang merupakan jaringan kemenangan buat UITM HA-KPT pada minit ke-57 berjaya mengesahkan tempat mereka di separuh akhir dan akan bertemu TNB.

Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting pada suku akhir pertama, UITM HA-KPT ke separuh akhir menerusi agregat 5-2.

Separuh Akhir 1 – Piala TNB (Selasa – 5 MAC 24)

TENAGA NASIONAL BERHAD lwn UTIM HA-KPT (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1) – 6:00 petang)

TERENGGANU HOCKEY TEAM lwn MAYBANK (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1) – 8:00 malam)