Sarjit Perlu 18 Bulan Nilai Pemain, 42 Pemain Akan Dipanggil

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh bersedia memanggil 40 hingga 42 pemain untuk kem pertama pasukannya yang dijadualkan pada 19 Mac ini.

Jelas Sarjit, untuk membentuk sebuah pasukan terbaik, beliau memerlukan tempoh 18 bulan untuk mengenalpasti pemain terbaik negara dan memiliki kualiti beraksi di pentas antarabangsa sekaligus merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan handalan dunia.

Beliau mengakui Malaysia memiliki ramai pemain hoki berbakat namun masih kekurangan pemain yang memiliki kualiti antarabangsa.

“Kita akan memanggil 40 hingga 42 pemain berpotensi untuk diuji pada kem latihan pertama. Pemain senior atau muda mempunyai peluang.

“Saya fikir pertama sekali, kita perlu melihat kualiti pemain yang kita ada. Sudah tentu kita ada pemain (hoki berbakat) bermain untuk Malaysia tetapi adakah mereka mempunyai kualiti bertaraf antarabangsa atau tidak? Kita mungkin ada tetapi kita nak lebih lagi ramai pemain (bertaraf antarabangsa).

“Untuk mengenali dan bekerjasama dengan semua pemain, ia memerlukan masa 14 hingga 18 bulan.

“Kemudian, anda akan tahu hala tuju mana saya akan ambil,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang berlangsung di sini hari ini.

Sarjit Singh dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan yang baharu bagi menggantikan A. Arul Selvaraj dengan tawaran kontrak selama dua tahun.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Sri Subahan Kamal meminta semua pihak memberi ruang dan masa untuk Sarjit menilai pemain terlebih dahulu.

Subahan berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada Sarjit dan akan berusaha memenuhi permintaan yang diperlukan beliau untuk membentuk sebuah pasukan hoki terbaik.

“Bagi dia masa untuk pilih pemain dan berjumpa dengan mereka terlebih dahulu. Beri masa sebulan dan selepas itu baru boleh buat perancangan.

“Kita akan beri kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih dan MHC akan cuba beri segalanya kepada jurulatih kerana kita tidak pernah mengecewakan permintaan mana-mana jurulatih sebelum ini,” kata Subahan yang mengakui berharap pasukan hoki kebangsaan mampu memenangi piala.