Cikgu Sukri Beraya Di Perak, Sedia Galas Tugas Kejurulatihan Bersama Pasukan Kebangsaan

Bekas Kapten Malaysia, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui transisi daripada seorang pemain kepada barisan kejurulatihan merupakan perkara yang berbeza.

Begitupun, ia merupakan satu cabaran baharu buat Sukri yang memberi penekanan untuk bergelar sebagai seorang jurulatih yang bagus, perkara utama adalah perlu berguru dengan jurulatih berpengalaman.

Tambah pemain berusia 38 tahun itu yang kini merupakan penolong jurulatih skuad hoki senior lelaki kebangsaan, berkata walaupun memiliki pengalaman luas sebagai pemain di peringkat domestik mahupun antarabangsa namun tugas baharu sebagai jurulatih adalah perkara berbeza.

“Masing-masing ada cabaran sama ada menjadi pemain atau jurulatih. Cuma di sini bila saya menjadi jurulatih perbezaan melibatkan lebih kepada penat mental walaupun fizikal juga ada penatnya berbanding pemain lebih penat fizikal.

“Maksud saya sebagai jurulatih selain melatih, kena juga buat kerja-kerja pengurusan, merangka pelan dan perlu berfikir di luar kotak untuk membentuk pasukan yang bagus.

“Walaupun saya miliki pengalaman luas sebagai pemain namun bila jadi jurulatih saya perlu belajar berguru dengan jurulatih berpengalaman, ilmu baru akan datang dan dapat lihat daripada sudut berbeza serta jelas.

“Untuk jadi jurulatih yang bagus mungkin perlu masa lima hingga 10 tahun lagi,” katanya yang memiliki 351 caps beraksi bersama skuad kebangsaan.

Sukri yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagaimanapun tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan tugasan dalam bidang kejurulatihan kerana telah memulakan sejak 2017.

“Sebenarnya saya tiada masalah (menyesuaikan diri) dalam bidang kejurulatihan sebab saya pernah menjadi jurulatih di SSBJ atau diperingkat pembangunan bermula pada tahun 2017 lagi, masa itu saya masih seorang pemain.

“Saya bekerja sebagai guru dan jurulatih di SSBJ dan sekarang ini saya telah boleh menyesuaikan diri dengan tugas sekarang kerana sudah lama dalam bidang kejurulatihan tetapi berbezanya adalah kini membantu coach Sarjit (Singh) di peringkat elit,” jelasnya.

Barisan kejurulatihan skuad kebangsaan ketika ini mempunyai misi bagi membentuk pasukan Speedy Tigers ‘berwajah baharu’ dengan Sukan Asia 2026 Nagoya menjadi salah satu objektif pasukan ini dibentuk.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba minggu depan, Sukri memaklumkan tahun ini giliran beraya di kampung halamannya Felda Trolak Utara, Sungkai Perak selepas tahun lepas beraya di Johor.

“Tahun ini giliran beraya di Felda Trolak Utara iaitu kampung halaman saya. Tahun lepas saya beraya di kampung halaman isteri di Johor. Kebiasaan kami suami isteri akan habiskan masa di satu tempat sahaja setiap tahun perayaan,” jelasnya.