Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh mengakui terdapat pemain-pemain muda yang berbakat dan mereka memerlukan banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, pendedahan itu akan memberi lebih banyak input kepada barisan kejurulatihan untuk mengetahui sejauh mana bakat dimiliki mereka mampu dipertingkatkan ke tahap optimum.
Sarjit menjelaskan bahawa aksi domestik dan antarabangsa merupakan pentas berbeza, jadi untuk melihat keupayaan sebenar pemain-pemain muda ini, lebih banyak perlawanan antarabangsa perlu dilalui mereka.
“Bila dia (pemain) main perlawanan tempatan dan perlawanan antarabangsa ada banyak bezanya. Ada yang boleh main ‘game’ tempatan tapi bila main ‘game’ antarabangsa dia merasa tekanan sikit.
“Itu yang saya cakap daripada awal, kita kena bagi pendedahan kepada pemain muda untuk bermain lebih banyak perlawanan antarabangsa, baru kita dapat input yang baik.
“Kita perlukan input yang baik daripada pemain-pemain yang bermain perlawanan antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, bayangan 18 pemain bakal membawa cabaran Malaysia di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 yang dijadualkan bermula 4 Mei hingga 11 Mei nanti, sudah berada dalam fikiran Sarjit.
Bagaimanapun, senarai itu hanya akan dimuktamatkan oleh barisan kejurulatihan selepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei ini.
Aksi persahabatan bertemu Korea Selatan pada 2 Mei ini akan menjadi medan persiapan terakhir sebelum turun pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dua hari selepas itu.
Jelas Sarjit, kesebelasan utama juga telah dikenal pasti oleh beliau dan barisan kejurulatihan bagi menentang lima pasukan lain iaitu Pakistan, Kanada, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.
“Kita sudah ada pemain yang kita inginkan. Kemungkinan besar kita sudah ada kesebelasan utama tetapi kita akan muktamadkan pemain mana yang akan tersenarai selepas perlawanan dengan New Zealand nanti,” jelasnya.
Sementara itu, jaminan tempat dalam senarai akhir 18 pemain buat empat pemain senior yang berada dalam pasukan Speedy Tigers iaitu Hafizuddin Othman, Muhammad Marhan Jalil,Mohd Fitri Saari dan Faizal Saari juga masih belum selamat.
“Empat pemain senior belum disahkan lagi akan tersenarai dalam senarai terakhir 18 pemain.
“Kita kena tunggu dan lihat mereka berlatih serta menunjukkan permainan yang baik dalam perlawanan persahabatan nanti,” ujar pengendali berusia 62 tahun itu.
Selepas aksi di PSAS 2024, skuad Speedy Tigers dijadual menyertai Piala Negara-Negara di Poland dari 31 Mei hingga 9 Jun ini.