Korea Selatan Raih Kemenangan Pertama

Korea Selatan akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, selepas menewaskan Kanada 1-0 pada aksi ketiga kejohanan itu di Ipoh, hari ini.

Gol tunggal itu dijaringkan oleh Oh Seyong menerusi gol padang pada minit ke-13 namun untuk permulaan suku kedua, perlawanan terhenti seketika ekoran hujan lebat selama 10 minit.

Keputusan itu membolehkan skuad kendalian Min Taeseok meraih tiga mata pertama selepas  tewas dalam dua perlawanan awal kepada Jepun 1-2 dan dibelasah Pakistan 4-0.

Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada Piala Negara-Negara 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan dan kemenangan memihak kepada Korea Selatan 6-2.

Daripada 12 pertemuan antara kedua-dua pasukan, Korea Selatan memenangi sembilan sejak Sukan Olimpik Seoul 1988 manakala tiga perlawanan lain berakhir dengan keputusan seri.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan juga berlangsung seimbang apabila masing-masing mencipta peluang dengan Kanada memperolehi tiga pukulan sudut penalti manakala Korea Selatan hanya mendapat satu.

KOREA SELATAN: MIN TAESEOK (JURULATIH)

“Kemenangan yang bagus untuk pemain-pemain muda di kejohanan ini. Secara keseluruhan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi ia perkara biasa untuk sebuah pasukan yang baru dibentuk dan rata-rata adalah pemain muda.”

Pasukan ini akan semakin baik cuma perlukan masa, pemain-pemain muda perlukan lebih banyak pengalaman di peringkat antarabangsa untuk menjadi bagus. Itu yang kami perlu lakukan.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: OH SEYONG


“Untuk menjadi sebaik pemain senior seperti Jang Jong-hyun, saya dan pemain lain memerlukan masa dan lebih banyak perlawanan di peringkat antarabangsa”.

KANADA : PATRICK TSHUTSHANI (JURULATIH)

“Saya tidak gembira dengan sikap pemain kerana melepaskan gol awal dan tidak mahu menyerang mencari gol walaupun ada peluang untuk melakukan.”

Benar kami pasukan baharu dan masih belajar tetapi apa yang dilakukan mereka hari ini tidak menggembirakan saya. Mereka sepatutnya lebih bersemangat untuk bermain, kita dapat tiga pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya.”