Pakistan Bangkit Mengikat Jepun

Pakistan terpaksa menunggu sehingga minit terakhir perlawanan untuk memastikan mereka tidak kehilangan mata apabila bangkit mengikat Jepun 1-1 pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan rekod tanpa kalah dikekalkan oleh kedua-dua pasukan di saingan PSAS edisi ke-30.

Aksi babak pertama memperlihatkan skuad bimbangan Yoshihiro Anai memberi tekanan berterusan kepada Pakistan, dengan empat pukulan sudut penalti diperolehi Jepun pada suku kedua namun ia gagal disempurnakan dalam bentuk jaringan.

Bersambung babak kedua, usaha berterusan Jepun mencari gol awal tiba pada minit ke-33 menerusi tolakan deras dilakukan Ken Nagayoshi yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Aksi sengit terus dipamerkan kedua-dua pasukan apabila saling berbalas serangan selepas itu bagaimanapun gagal menjelmakan sebarang gol.

Pada permulaan suku keempat, Pakistan hampir mendapat pukulan penalti stroke tetapi selepas merujuk video, umpire perlawanan, Ben Grant membatalkan keputusan pertama dibuatnya.

Sehinggalah, Pakistan mendapat pukulan sudut penalti keempat pada minit ke-58 yang disempurnakan Rana Waheed Ashraf untuk memastikan pasukannya meraih satu mata berharga.

Untuk rekod, pertemuan pertama di peringkat antarabangsa melibatkan kedua-dua pasukan menyaksikan Pakistan membelasah Jepun 10-0 di Sukan Olimpik Rom.

Pasukan berkenaan juga telah bermain sebanyak 28 kali sejak 1960 dengan 13 kemenangan memihak kepada Pakistan manakala lapan buat Jepun dan selebihnya berakhir seri.

JAPAN: YOSUKE MATSUMURA (JURULATIH)


“Perlawananan yang sangat sengit dan kami berterusan melakukan tekanan kepada benteng pertahanan Pakistan dan sepatutnya memperolehi lebih banyak gol.

“Jika berdasarkan corak permainan sepatutnya kami harus menjadi pemenang. Sudah tentu Pakistan pasukan yang bagus, memiliki pemain yang berkemahiran tinggi dan memiliki pukulan sudut penalti dengan gaya tersendiri.”

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: KEN NAGAYOSHI (JEPUN)


“Saya akan terus mengekalkan prestasi seperti biasa dan tiada sebarang kecederaan. Tentunya saya sentiasa bersedia sepenuhnya untuk turun menentang Malaysia esok.

PAKISTAN: ROELANT OLTMANS (JURULATIH)


“Kami tidak bermain seperti kebiasaan Pakistan bermain dan kami bernasib baik kembali mendapat rentak pada suku ketiga dan keempat serta mendapat satu gol.

“Sebelum ini kami menjaringkan lima gol pada perlawanan pertama dan empat gol aksi kedua. Saya juga tertanya-tanya mengenai pukulan penalti stroke yang sepatutnya kami dapat.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku dan keputusan tidak memilih kepada kami tetapi ia telah berakhir dan kami perlu fokus kepada perlawanan seterusnya.”