Skuad hoki lelaki negara yang mempunyai satu lagi baki perlawanan untuk aksi sepusingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, esok mahu menutupnya dengan kemenangan.

Apa sahaja keputusan yang bakal diraih menentang Korea Selatan, tidak membawa sebarang makna untuk Speedy Tigers berikutan peluang ke final telah tertutup.

Mata maksimum yang mampu diraih Malaysia adalah sembilan mata jika menang ke atas pasukan di ranking ke-11 dunia, Korea Selatan, ketika Pakistan dan Jepun telahpun mengumpul 10 mata selepas berakhir perlawanan keempat semalam.

Justeru, Malaysia hanya akan bermain di penentuan tempat ketiga/keempat menentang New Zealand pada Sabtu ini.

Malaysia yang merupakan penyandang juara piala itu, bagaimanapun berjaya mencapai sasaran ditetapkan barisan kejurulatihan yang disuarakan penolong jurulatih Speedy Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib sebelum ini iaitu kedudukan empat terbaik menjadi buruan mereka.

Ia disifatkan sebagai sasaran yang realistik susulan Speedy Tigers merupakan pasukan ‘berwajah baharu’ dan ia dibentuk bermula 19 Mac lalu dibawah kendalian Sarjit Singh.

Berbalik kepada perlawanan menentang Korea Selatan, Sarjit menegaskan tiada banyak perubahan akan dilakukan dan pasukan akan bermain seperti biasa.

Perkara paling penting yang ingin dilihatnya dalam kejohanan ini, tetap sama iaitu menuntut kesungguhan dan komitmen sepenuhnya oleh semua pemain.

“Kita perlu terus mengekalkan semangat yang bagus dan kekal bermain seperti biasa. Perlawanan (menentang Jepun) semua pemain bermain baik dan anda dapat lihat minit terakhir perlawanan mereka inginkan gol.

“Kemenangan menentang Korea Selatan akan memberi kita sembilan mata dan bakal beraksi di penentuan ketiga dan keempat.

“Selepas beberapa tahun saya kembali semula sebagai jurulatih, ini adalah proses pembelajaran dan kita akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa,”katanya.

Dalam pada itu, Pakistan dan Jepun telah mengesahkan tempat di perlawanan akhir bagi perebutan kejuaraan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata keseluruhan.

Bagi aksi esok, Pakistan bakal berdepan kesukaran untuk mengekalkan momentum kemenangan apabila turun menentang New Zealand pada pukul 4 petang.

Jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada pemain-pemain apabila turun berdepan pasukan Black Sticks.

“Sejujurnya apabila and (media) melihat statistik dua perlawanan ketika New Zealand tewas, jumlah peluang yang mereka ada banyak tetapi keputusan tidak memihak mereka.

“Mereka pasukan yang kuat…perkara paling penting untuk saya adalah kami akan kekal fokus kepada meningkatkan permainan kami untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.”

Sememtara itu, jurulatih New Zealand, Greg Nicol, yakin mengakhiri ‘unbeaten’ recod Pakistan.

Sementara itu, Jepun dilihat tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kanada pada aksi terakhir sepusingan dan mereka sudah boleh membuat perkiraan dalam merencana strategi terbaik di final Sabtu ini, bagi mencapai sasaran menjadi juara.

Tags: