Pakistan sekali lagi tidak membenarkan mana-mana pasukan mencalar rekod tanpa kalah mereka apabila bangkit mengikat New Zealand 1-1 pada aksi terakhir pusingan pool Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, petang ini.
Skuad kendalian Roelant Oltmans yang akan beraksi di pentas akhir,esok bagaimanapun bermula agak perlahan dan situasi itu dimanfaatkan New Zealand untuk menekan Pakistan seawal dua minit pertama dengan meraih dua pukulan sudut penalti tetapi gagal disempurnakan dalam bentuk gol.
Aksi babak pertama kedua-dua juga menyaksikan bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang dan menutup 30 minit pertama permainan tanpa jaringan.
Memasuki suku ketiga skuad Black Sticks akhirnya membuka tirai jaringan menerusi gol padang Luke Holmes pada minit ke-35.
Namun, Pakistan bangkit memadam kelebihan itu pada minit ke-43 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Abu Mahmood.
Untuk suku keempat, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun beberapa peluang yang diperolehi mereka tidak diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Keputusan itu menyaksikan Pakistan dan New Zealand berkongsi mata.
Esok, Pakistan akan membuat penghitungan dengan Jepun bagi menentukan juara edisi ke-30 PSAS manakala New Zealand turun berdepan Malaysia dalam perebutan tempat ketiga dan keempat.

PAKISTAN: ROELANT OLTMANS (JURULATIH)
“Seperti apa dikatakan oleh Nicol (jurulatih New Zealand) perlawanan seimbang buat kedua-dua pasukan, mereka menguasai babak pertama dan babak kedua menjadi milik kami.
Permulaan kami tidak bagus dan memberi pukulan sudut penalti awal kepada lawan, ia tidak sepatutnya berlaku tetapi saya gembira kita masih mengekalkan rekod tanpa kalah walaupun tidak beraksi di tahap terbaik hari ini.
Perlawanan final esok kami akan cuba atasi kelemahan yang ada dan tingkatkan apa yang sepatutnya.
Sebolehnya saya mahu memenangi perlawanan dalam tempoh sebenar (60 minit) tanpa perlu dibawa kepada penentuan penalti (bagi menentu pemenang).”
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: SUFYAN KHAN (PAKISTAN)
“Misi utama kami di sini hanya mahu menang piala dan memastikan ia dibawa pulang ke Pakistan.”
NEW ZEALAND: GREG NICOL (JURULATIH):
“Perlawanan yang bagus untuk kedua-dua pasukan, kami mendominasi aksi babak pertama dan mencipta beberapa peluang namun kami tidak bernasib baik untuk mendapatkan gol.
Selepas itu David (Brydon) mendapat kad (kuning m-11) dan ia memberi kesan kepada rentak permainan. Pada babak kedua kami berdepan kesukaran sehingga membenarkan Pakistan menguasai perlawanan selepas itu.
Kami mahu memberi peluang lebih banyak kepada pemain baharu menuai pengalaman dan ia proses untuk membentuk mereka menjadi pemain yang bagus.
Kami akan beri tentangan sengit untuk perlawanan esok menentang Malaysia dan cuba memenanginya”.









