Jepun yang telah mara ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) buat kali pertama sejak penganjuran kejohanan itu pada tahun 1983, memilih untuk merehatkan beberapa tonggaknya pada aksi terakhir pusingan round robin menentang Kanada, hari ini.
Percaturan itu bagaimanapun tidak menghalang anak didik Yoshihiro Anai untuk menjinakkan Kanada 3-1 pada pertembungan melibatkan kedua-dua pasukan tersebut.
Pada perlawanan di Stadium Azlan Shah itu, menyaksikan kedua-dua pasukan menunjukkan permainan seimbang dan ia menyaksikan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Gol yang dinantikan oleh penyokong yang hadir akhirnya muncul pada minit ke-42 melalui ledakan gol padang oleh Sean Davis yang bijak memanfaatkan peluang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Jepun, Takumi Kitagawa.
Namun, Jepun pantas bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil gol padang dijaringkan oleh Hiro Saito dan Tsubasa Tanaka menggandakan gol kedua buat skuad Samurai pada minit ke-56 untuk mendahului perlawanan.
Jepun sekali lagi merobek gawang Kanada dan kali ini menerusi pukulan deras Kosei Kawabe pada minit terakhir perlawanan untuk memberi kemenangan bergaya buat skuad Samurai.
Kanada menjadi satu-satunya pasukan yang tewas dalam kesemua lima perlawanan pusingan round robin PSAS 2024, namun skuad kendalian Patrick Tshutshani menunjukkan peningkatan prestasi daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
Ia dibuktikan menerusi keputusan dalam lima perlawanan dilalui mereka, bermula dibelasah New Zealand 1-7 dan Malaysia (2-6) namun mengurangkan defisit dibolosi ketika tewas 0-1 ditangan Korea Selatan dan hampir mengejutkan New Zealand dengan keputusan 4-5.
Kali terakhir pertemuan antara kedua-dua pasukan adalah pada Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan dengan keputusan Jepun menang 3-0 ke atas kanada.
Untuk rekod, dalam empat perlawanan terdahulu, Jepun memulakan kempen PSAS dengan kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan, disusuli menewaskan New Zealand (4-1), diikat Pakistan (1-1) dan menang 2-1 ke atas Malaysia.
Kanada akan turun buat kali terakhir esok pada perlawanan penentuan kelima dan keenam menentang Korea Selatan.
JEPUN: YOSHIHIRO ANAI (JURULATIH)
“Kami masih perlu melakukan beberapa kerja rumah untuk mencari cara untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang apabila berdepan Pakistan.
Jika anda melihat corak permainan kami ketika menentang Kanada, kami masih mengekalkan rentak permainan kami tetapi apabila berdepan Pakistan esok kami perlu meningkatkannya lagi kerana ia bakal menjadi satu perlawanan yang berintensiti tinggi.
Kami akan kekal dengan corak bertahan. Pakistan memiliki pemain yang cukup berkemahiran tinggi dan ia dapat dilihat ketika kami seri 1-1 menentang mereka. Semua pemain sangat berbahaya tidak hanya beberapa sahaja.
Untuk itu saya akan fikirkan pelan terbaik untuk aksi final esok dan cuba memenangi perlawanan itu.”
KANADA : PATRICK TSHUTSHANI (JURULATIH)
“Kami akan terus meningkatkan permainan kami dan memperbaiki segala kelemahan yang dilihat sepanjang lima perlawanan ini.
Banyak perkara yang pemain-pemain saya belajar di sini dan esok akan menjadi perlawanan terakhir buat kami iaitu menentang Korea Selatan. Ini adalah proses pembelajaran terbaik untuk pasukan baharu seperti kami.”









