Malaysia Ke Pusingan Kedua, Rebut Slot Final

Kemenangan 5-4 yang diraih pasukan negara ke atas Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B, Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan, membawa Malaysia ke pusingan seterusnya, bagi merebut slot untuk ke pentas final.

Pusingan empat pasukan terbaik (Malaysia, Kazakhstan, Iran dan Thailand) atau Kumpulan C menyaksikan Malaysia akan bertemu Iran dan Thailand dengan misi menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas bagi melangkah ke pentas final.

Dua pasukan yang melangkah ke pentas akhir bakal meraih slot automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 yang dijadualkan berlangsung di Poreč, Croatia pada 3 hingga 9 Februari 2025.

Aksi terakhir kumpulan menyaksiakn Malaysia membuka tirai jaringan pada minti keempat selepas kelebihan pukulan sudut penalti pertama yang dimiliki berjaya diterjemahkan kepada jaringan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan sebelum pada minit kesembilan.

Menerusi satu serangan balas yang diatur, Muhammad Firdaus Omar yang tidak dikawal berjaya menyudahkan hantaran rakan separukan untuk jaringan kedua Malaysia terhasil.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Malaysia dihadiahkan dengan penalti stroke selepas pertahanan Indonesia melakukan kesilapan ketika cuba menidakkan kelebihan pukula sudut penalti Malaysia dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah meletakkan Malaysia selesa dihadapan 3-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Indonesia dilihat melancarkan serangan dan mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-24 dan Revo Priliandro menjaringkan gol pertama Indonesia.

Malaysia nayata tidak terkesan dengan jaringan tersebut apabila minit ke-29, sekali lagi kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki berjaya menghasilkan jaringan menerusi Kapten Pasukan, Najmi Farizal Jazlan.

Indonesia terus menggandakan asakan untuk merapakan kedudukan dan dua gol berjaya dicetak oleh Muhamad Alfiana bermula jaringan pukulan sudut penalti pada minti ke-31 dan diikuti gol gerakan padang seminit kemudian.

Malaysia terus memastikan jurang jaringan berjaya dilebarkan selepas Faridzul Afiq Mohd menjaringkan gol padang pada minti ke-35 namun Indonesia terus mengekori rapat hasil jaringan keempat pada minti ke-37 menerusi Adi Leksono.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak cukup untuk menidakkan Malaysia daripada meraih kemenangan dan sekaligus melangkah ke pusingan kedua.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi memberikan pujian kepada barisan pemainnya yang menyedari kepentingan memenangi perlawanan tersebut selain menterjemahkan setiap perancangan pasukan dengan baik.

“Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh semua pemain selain keinginan mereka untuk menang pada perlawanan ini begitu tinggi. Kredit dan pujian harus diberikan kepada setiap pemain.

“Walaupun pemain masih melakukan kesilapan mudah, namun mereka bangkit untuk menutup segala kesilapan yang dilakukan dengan baik dan tahniah kepada semua pemain yang telah bermain mengikut perancangan barisan kejurulatihan.

“Pasukan akan bersedia dengan sebaiknya untuk dua perlawanan seterusnya bertemu Thailand dan Iran. Barisan kejurulatihan pastinya akan mempersiapkan pasukan dengan perancangan yang rapi.

“Fokus utama kami pastinya meraih kemenangan dalam kedua-dua perlawanan, bagaimanapun kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Barisan kejurulatih mengharapkan pemain dapat mengekalkan semangat juang tinggi dan berikan yang lebih lagi untuk kedua-dua perlawanan nanti selain sokongan serta doa daripada rakyat Malaysia amat kami harapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, penjaring gol kedua Malaysia, Muhammad Firdaus Omar dipilih selaku pemain terbaik perlawanan hari ini menyifatkan kemenangan yang diraih sangat bermakna buat pasukan.

“Syukur Alhamdulillah ini merupakan satu kemenangan yang cukup bermakna dan pasukan bermain dengan cukup baik dengan mengikut setiap perancangan yang telah ditetapkan pasukan.

“Kami bersedia untuk ke pusingan kedua dan kami berharap kami dapat melakukan yang terbaik,” jelasnya.