Kebangkitan luar biasa Malaysia dalam perlawanan penentuan terakhir pusingan kedua (Pool C), Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan, dengan mengikat Iran pasukan di ranking kedua dunia, 3-3 membawa Malaysia ke pentas final sekaligus layak untuk beraksi di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025.
Malaysia yang mencipta sejarah tersendiri beraksi di Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah dan lawannya Iran akan bertemu kembali esok (Sabtu – 25 May) jam 6.00 petang waktu Malaysia dengan misi berbeza kali ini merangkul gelaran Juara Asia selepas kedua-dua pasukan layak secara automatik beraksi di Poreč, Croatia pada 3 hingga 9 Februari 2025.
Dua gol gerakan padang Abdul Khaliq Hamirin dan satu gol pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain meranapkan impian Kazakhstan yang terpaksa menerima hakikat menutup cerita pusingan empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga sementara Thailand di kedudukan keempat.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan dilihat saling mengatur strategi menyerang bagi mendapatkan gol pendahuluan namun tiada sebarang gol berjaya dicetak sehingga minit ke-10 apabila Iran dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Mahdi Shahrokhi meletakkan Iran mendahului permainan 1-0.
Minit ke-16, penjaring terbanyak kejohanan setakat ini, Amirmahdi Mirzakhani meletakkan Iran terus selesa dihadapan 2-0 sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan kelebihan buat Iran.
Bersambung suku ketiga, menerusi satu gerakan pantas, Abdul Khaliq Hamirin merapatkan kedudukan 1-2 hasil gol gerakan padang sebelum Iran dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua mereka pada minit ke-27 dan Mahdi Shahrokhi meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini.
Bagaimanapun Malaysia yang tidak berputus asa terus menggandakan asakan dan seminit kemudian, giliran pasukan negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan jaringan Muhammad Aminuddin Mohd Zain mengubah kedudukan menjadi 2-3.
Jaringan cukup manis buat pasukan negara hadir pada minti ke-30 selepas Abdul Khaliq Hamirin meledak gol kedua peribadinya sekaligus Malaysia mengikat Iran 3-3 hingga tamat perlawanan.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kejayaan Malaysia mencipta satu sejarah yang cukup manis melangkah ke Piala Dunia sebagai dua pasukan terbaik Asia.
“Satu permainan dengan semangat juang yang cukup tinggi ditunjukkan oleh setiap pemain. Setiap pemain memberikan sehabis baik dan kebangkitan yang ditunjukkan mereka semestinya perlu dipuji.
“Pemain turun hari ini dengan satu semangat luar biasa iaitu ingin mengapai satu keputusan yang terbaik demi Malaysia.
“Melangkah ke Piala Dunia untuk kali pertama merupakan detik yang paling dinantikan dan ini yang diperjuangkan oleh pasukan selama ini.
“Pasukan berharap kami mendapat perhatian dan peruntukan yang secukupnya bagi kami mempersiapkan pasukan dengan sebaik mungkin agar dapat memberikan tentangan yang hebat di Piala Dunia 2025 nanti.
“Bertemu Iran sekali lagi di pentas final esok, kami akan melakukan semua persediaan yang diperlukan dengan sebaik mungkin dan pasukan berharap pemain dapat menutup kempen Piala Asia 2024 dengan satu noktah yang cukup manis.
“Terima kasih kepada penyokong dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong Pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia dan terus mempercayai kami,” jelasnya.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM, merangkap pengurus pasukan En. Shurizan Mansor dan Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi serta semua barisan pemain di atas pengorbanan mereka yang berusaha demi Malaysia.
Walaupun Pasukan Hoki Dalam Dewan Negara terpaksa berdepan dengan banyak kekurangan termasuk kekurangan kewangan serta infrastruktur ketika mempersiapkan pasukan untuk ke Piala Asia 2024, mereka telah berjaya membuktikan berbekalkan semangat juang yang tinggi dan bermain demi negara, mereka mampu menggegar dunia dan mencapai kejayaan.
KHM juga berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan bantuan secukupnya kepada Pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia (Lelaki dan Wanita) kerana mereka pasti mampu untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dengan sokongan yang lebih dan berterusan.









