Hanya Perak mampu menjadi penghalang kepada Pahang bagi mempertahankan gelaran yang mereka menangi tahun lalu, selepas kedua-dua pasukan akan bertembung pada perlawanan akhir Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok.
Dalam aksi separuh akhir skuad lelaki, malam ini, Pahang diikat Melaka dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Namun, skuad bimbingan Mohd Sufian Mohamad itu akhirnya beroleh kemenangan berharga 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Shamir Syafie Ishak, Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib dan Muhamad Izham Azhar.
Satu-satunya pukulan penalti berjaya dimiliki Melaka ialah hasil jaringan Muhammad Nur Asyraf Ishak.
Perak pula membenam Perlis 2-0 juga melalui penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 dalam minit sebenar permainan.
Bekas pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-7 untuk Perlis, sebelum gol penyamaan Perak diledakkan Azmilmuizzzuddin Misron pada minit ke-16.
Bagaimanapun, tuah menyebelahi Perak apabila Meor Muhamad Azuan Hasan dan Mohamad Ashran Hamsani melaksanakan tugas dengan baik untuk membawa pasukan mereka ke perlawanan akhir.
Sementara itu, dalam saingan wanita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kuala Lumpur bakal menghitung pertemuan bagi merebut gelaran pada perlawanan akhir, esok, selepas menumbangkan lawan masing-masing di peringkat empat terbaik.
PDRM yang diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Noor Hasliza Md Ali menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada separuh akhir malam ini.
Bagaimanapun, PDRM tersentak dengan jaringan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi yang meletakkan pasukan Pulau Mutiara itu mendahului hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-10.
Namun, skuad bimbingan Jivan Mohan itu kembali bernafas apabila pukulan sudut penalti yang diperoleh mereka pada minit ke-14 berjaya disempurnakan dengan baik Norashikin Halim untuk gol penyamaan.
Gol kemenangan PDRM diledakkan oleh Wan Norfaiezah Md Saiuti menerusi gol padang pada minit ke-20.
Kuala Lumpur pula mengetepikan Perak 2-0 dalam satu lagi separuh akhir dan dua gol kemenangan skuad ibu kota itu dihasilkan oleh Nur Syaza Afiqah Safawi (minit ke-7) dan Hasya Syahida Saifuddin (minit ke-19).
