Pasukan hoki wanita 5 sebelah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkul gelaran sulung selepas mengetepikan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan akhir pada Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejayaan skuad bimbingan Jivan Mohan itu jauh mengatasi pencapaian edisi lalu selepas PDRM hanya mampu menamatkan saingan di tangga kedua tercorot.

Diperkuatkan dengan beberapa bekas tonggak kebangsaan, PDRM mempamerkan permainan kemas berdepan Kuala Lumpur dengan gol pembukaan berjaya diperoleh menerusi Wan Norfaiezah Md Saiuti hasil jaringan padang pada minit ke-3.

Wan Norfaiezah sekali lagi menjadi wirawati PDRM apabila meledakkan gol kedua pada minit ke-11 dan sekali gus meletakkan pasukannya mendahului selesa 2-0.

Namun, Kuala Lumpur yang tidak mengenal erti putus asa berjaya merapatkan jurang gol menerusi penjaring terbanyak kejohanan, Nur Zafirah Aziz pada minit ke-12.

Bagaimanapun, gol yang dihasilkan Norazlin Sumantri pada minit ke-18 memastikan kejuaraan menjadi milik mutlak PDRM.

Kapten PDRM, Noor Hasliza Md Said ketika ditemui berkata, kejayaan merangkul gelaran pada kejohanan kebangsaan merupakan pencapaian terbesar dalam sebarang kejohanan yang pernah disertai mereka.

“Kami hadir selaku pasukan ‘underdog’ memandangkan edisi lalu kami menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot dan apabila sekali lagi kami menyertai kejohanan ini, kami manfaatkan peluang itu sebaik mungkin,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, dia sendiri tidak menyangka berjaya mara sehingga ke final dan kejayaan tersebut disifatkannya sebagai satu bonus buat dirinya serta PDRM.

Ketika ditanya mengenai masa depan hoki 5 sebelah, Hasliza berharap, pemain wanita di negara ini akan diberi peluang yang lebih bagi mengembangkan bakat mereka terutamanya di pentas antarabangsa.

Sementara itu, dalam upacara penyampaian hadiah, Melaka diumumkan sebagai penerima anugerah Fairplay, manakala, Nur Zafirah diumumkan sebagai penjaring gol terbanyak dengan 20 gol.

Hasliza pula dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaga gol PDRM, Siti Noor Hafiza Zainordin sebagai penjaga gol terbaik, manakala, pemain Perak, Dian Nursyakira Najwa Al-Waqda Nazeri menerima anugerah pemain terbaik kejohanan.

Tags: