Temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024, bagi Kategori Lelaki yang berlangsung di Stadium Hoki Negeri Sarawak (Padungan) menyaksikan empat pasukan terbaik, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Terengganu melangkah ke pentas separuh akhir.
Selaku Juara Kumpulan C, Perak berjaya menewaskan naib juara kumpulan A, Sabah 5-0 dan kejayaan Perak itu menyaksikan mereka terus gah mengekalkan rekod tanpa bolos selepas empat perlawanan yang telah dilalui.
Berbekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan, selain telah menjaringkan keseluruhan 17 gol setakat ini, Pengendali Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim menyifatkan barisan pemainnya berjaya menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Alhamdulillah pemain bermain mengikut taktikal selain pemain-pemain remaja yang membuat penampilan kali pertama di SUKMA Sarawak mendapat bantuan dan bimbingan daripada pemain yang lebih senior.
“Prestasi yang baik ini membantu kami untuk mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini selain benteng terakhir Perak iaitu penjaga gol Mohamad Rafaizul Mohamad Saini yang mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan remaja kebangsaan menjadi salah satu kunci kecemerlangan pasukan.
“Rekod melangkah ke separuh akhir ini menyamai pencapaian edisi 2022, tetapi saya yakin untuk musim ini Perak akan ke final berdasarkan prestasi pemain yang beraksi cemerlang sebagai satu pasukan.
“Wilayah Persekutuan antara pasukan pilihan untuk SUKMA kali ini berdasarkan pencapaian mereka ketika Piala Tun Abdul Razak 2023. Namun saya yakin pasukan Perak memiliki kelebihan tersendiri dan bersedia untuk bertemu mereka,” ujarnya.

Sementara itu Juara Kumpulan A, Pahang terus berada di landasan terbaik untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi edisi lalu apabila menundukkan naib juara Kumpulan C, Sabah, 9-1.
Pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad menyifatkan kelebihan rehat yang dimiliki pasukannya telah digunakan sebaiknya dengan menjalani latihan memperbaiki penyudahan pukulan sudut penalti bersama pembantunya Ismail Abu.
“Latihan cara dan teknik menjaringkan gol dengan baik yang telah kami jalani membuahkan hasil pada perlawanan hari ini dan saya berharap ianya dapat dikekalkan pada aksi separuh akhir nanti.
“Saya melihat pasukan kini berada dilandasan yang baik untuk mempertahankan pingat emas. Cuma saya sentiasa mengingatkan pemain untuk mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan tanpa tekanan.
“Menjelang aksi separuh akhir, kami akan terus melakukan analisa kelebihan dan kelemahan lawan dan apa yang perlu dipertingkatkan oleh pasukan dalam mengatur strategi yang terbaik.
“Apabila beraksi di separuh akhir, perlawanan akan menjadi lebih hebat,”jelasnya.

Dalam pada itu kemenangan 3-2 yang diraih naib juara Kumpulan D, Wilayah Persekutuan ke atas juara Kumpulan B, Johor, menyaksikan finalist edisi 2022 (Johor), tidak berjaya untuk mencabar sebarang pingat bagi edisi 2024.
Satu lagi aksi suku akhir berakhir dengan Terengganu melangkah ke separuh akhir selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Melaka dan bakal berhadapan juara bertahan, Pahang di pentas separuh akhir yang akan berlangsung pada Khamis (22 Ogos).









