Pentas final Temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024, bakal menyaksikan pertembungan di antara juara bertahan, Pahang dengan Wilayah Persekutuan selepas kedua-dua pasukan cemerlang menundukkan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini.
Pertemuan yang berlangsung di Stadium Hoki Petra Jaya itu menyaksikan Pahang menewaskan Terengganu 4-0 sementara Wilayah Persekutuan mengecewakan Pulau Pinang 2-0 untuk mengesahkan tempat di pentas akhir.
Dalam aksi separuh akhir, Pahang membuka tirai jaringan menerusi gol padang Zati Alyani Muhamad Zubir pada minit ke-13 sebelum minit ke-22, Zati Alyani sekali lagi menjaringkan gol yang meletakkan Pahang selesa di hadapan.
Minit ke-26, giliran Anith Humaira Baharudin mencetak nama selaku penjaring menerusi gol pukulan sudut penalti sebelum Nur Atiqah Najwa Sutimi meledak gol padang pada minit ke-43 yang sekaligus merupakan gol kemenangan Pahang.
Ketua Jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad menyifatkan kejayaan melangkah ke pentas akhir untuk edisi kedua berturut-turut adalah hasil usaha keras para pemain dan pegawai yang menginginkannya.
“Pertama sekali syukur kerana kami berjaya ke final sekali lagi dan semua taktikal yang kami rancang membuahkan hasil namun ianya di luar jangkaan pasukan untuk kami ke final menerusi jaringan besar.
“Lawan kami, Terengganu mempunyai barisan pemain yang bagus dan berpengalaman namun hari ini pemain-pemain Pahang menggunakan kesempatan yang dimiliki untuk menjaringkan gol dan keluar selaku pemenang.
“Mempertahankan pingat emas bukan sesuatu yang mudah kerana kami tahu lawan kami juga melakukan persiapan yang cukup rapi sepanjang dua tahun ini.
“Kami datang sebagai pasukan underdog yang mempunyai cita-cita mempertahankan pingat emas selain mempunyai keinginan untuk melakukan sejarah buat Negeri Pahang dengan memenangi pingat emas untuk dua edisi berturut-turut.
“Pasukan akan melakukan persiapan rapi dan kami akan mengkaji semula perlawanan-perlawanan yang telah dilalui bagi memperbaiki kesilapan mudah yang kami lakukan selain tetap akan memberikan fokus penuh dan bersedia mental juga fizikal untuk berentap di final,” jelasnya.
Sementara itu lawan yang menanti Pahang, Wilayah Persekutuan, menewaskan lawan mereka Pulau Pinang menerusi dua gol gerakan padang yang dijaringkan oleh Azmyra Mia Sofea Azhairy pada minit ke-49 dan 56.
Mengulas mengenai kejayaan melangkah ke final, Ketua Jurulatih Wilayah Persekutuan, Kannagi Arumugam memuji pemain-pemainnya yang mengekalkan disiplin yang cukup baik sepanjang perlawanan dan menggunakan peluang yang terhidang untuk meledak dua gol yang membawa mereka ke final.
“Tahniah buat semua pemain kerana mereka berjaya mencapai apa yang mereka inginkan iaitu ke final dan kini pingat sudah berada dalam genggaman hanya warna dan kejayaan yang akan membezakan.
“Saya bangga dengan semua pemain yang mengekalkan semangat satu pasukan yang cukup tinggi daripada awal permainan hingga tamat.
“Kami pastinya akan turun untuk memberikan saingan yang terbaik di final nanti kerana lawan kami, Pahang adalah pasukan pilihan.
“Bagi memastikan kami dapat memberikan tentangan yang terbaik, pasukan akan dipersiapkan sepenuhnya termasuk memperbaiki pukulan sudut penalti menyerang dan bertahan serta menaikkan lagi keyakinan pemain bahawa mereka mampu untuk melakukannya,” jelas beliau.
