Suku terakhir perlawanan menjadi detik kebangkitan buat tuan rumah, Johor yang dilihat lambat panas ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Perlis pada Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2024.
Perlis dilihat mempamerkan aksi cemerlang pada suku pertama dan kedua berbanding tuan rumah yang pernah muncul selaku juara pada 1988, 2006 dan 2007. Bagaimanapun suku keempat Johor bangkit dengan memberikan aksi yang lebih baik daripada tiga suku pertama.
“Ia seperti touch-and-go pada suku pertama dan kedua. Perlis bermain dengan cukup baik pada awal permainan. Mereka mempunyai beberapa pemain yang beraksi pada Sukan Malaysia di Sarawak serta tiga atau lima pemain senior. Memandangkan ini perlawanan pertama kami, ia memerlukan masa,” kata Ketua Jurulatih Johor, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar.
“Saya gembira para pemain menunjukkan kekuatan dan keazaman dengan membuat dua jaringan pada suku terakhir bagi meraih kemenangan. Kita akan mengambil satu perlawanan demi satu dan berharap dapat memperbaiki permainan menentang Pulau Pinang, esok,” kata beliau.
Perlis mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pembukaan pada minit ke-4 untuk mendahului 1-0, tetapi pemain kebangsaan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin berjaya mengikat kembali kedudukan 1-1 pada minit ke-14 hasil jaringan pukulan sudut penalti.
Pasukan tuan rumah bangkit dengan aksi yang lebih cemerlang untuk melebarkan kedudukan 3-1 hasil daripada gol pukulan sudut penalti Muhammad Shafiq Sani pada minit ke-49 dan jaringan padang Muhammad Haziq Zunnurain pada minit ke-53.
Perak, yang merupakan juara sebanyak 13 kali, meraih tiga mata pertama selepas berjaya mengatasi Sabah 5-4 selain menafikan kebangkitan yang cuba ditunjukkan oleh Sabah dalam perlawanan Kumpulan B.
Sabah yang lewat panas pada awal perlawanan mensia-siakan peluang gol yang terhidang daripada serangan-serangan berbahaya mereka.
Penyerang Speedy Tigers Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan hatrik (minit ke-3, ke-21, ke-40) sementara Syed Mohamed Syafiq Syed Cholan menyumbang dua jaringan (minit ke-3 dan ke-52).
Sabah yang dilihat bijak menghidupkan peluang gol meraih empat jaringan menerusi Muhammad Saifuddin Azli (minit ke-4), Alves Christiano James (ke-18), Muhammad Salman Sudirman (ke-45) dan Mohamad Faid Farhadh (ke-56).
Dalam aksi lain, Pahang dilihat mengamuk pada aksi pertama mereka apabila pasukan pantai timur itu membenam skuad muda Singapura dengan jaringan paling banyak kejohanan setakat ini, 18-0 pada hari pertama kejohanan.
Pasukan Singapura yang membariskan pemain berusia antara 18 dan 19 tahun, tiba di Stadium Hoki Taman Daya dengan penuh keazaman. Ia merupakan perlawanan pertama daripada enam perlawanan Kumpulan A mereka.
Dalam perlawanan lain Kumpulan A, Negeri Sembilan menunjukkan persembahan bersemangat untuk menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1.
Raja Irsyaduddin Raja Azmi Yazir (minit ke-24) dan Shafy Shahymm Huzzeini (minit ke-31) menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti. PDRM mengurangkan defisit jaringan menerusi penalti strok yang disempurnakan Baljit Singh pada minit ke-48.
Dalam perlawanan akhir malam ini, Pulau Pinang menewaskan juara sembilan kali Selangor dengan Keputusan 3-0.