Young Tigress berjaya menemui rentak permainan terbaik pada aksi kedua TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 selepas cemerlang menundukkan Kuala Lumpur 7-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Kegusaran yang dilontarkan oleh Pengurus pasukan Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abdul Samat dan Ketua Jurulatih Lailin Abu Hassan semalam, selepas pasukan remaja negara meraih kemenangan 3-1 ke atas Melaka dibalas dengan prestasi yang memberangsangkan hari ini selain merekodkan keputusan yang positif.
“Bagaimana jaringan itu terhasil amat penting. Hari ini mereka bermain lebih baik berbanding menentang Melaka dan saya gembira dengan persembahan pasukan. Mereka perlu meneruskan momentum ini di sepanjang kejohanan,” kata Dato’ Haji Mohd Saiyuti.
“Mereka bermula dengan baik dan mencipta peluang jaringan dari awal permainan. Inilah persembahan yang kami mahukan daripada para pemain. Kini mereka bermain seperti pasukan kebangsaan,” kata beliau.
Edisi kesembilan TNB Piala Tun Abdul Razak merupakan landasan sebagai persiapan Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita di Muscat, Oman pada bulan Disember.
Pada perlawanan hari ini, Young Tigress menguasai keseluruhan permainan sehingga berjaya menghasilkan dua gol setelah permainan bermula hanya tiga minit. Nur Shamine Azureen meletakkan pasukannya 2-0 menerusi gol padang pada minit pertama dan minit ketiga.
Zati Alyani Muhamad Zubir menjaringkan hatrik (minit ke-26, ke-45 dan ke-55) sementara Siti Nur Atika Shaikh Maznan menyumbang satu gol pada minit ke-32 dan Nur Iman Adawiyah (ke-51) turut mencetak nama selaku penjaring menerusi pukulan sudut penalti.
Young Tigress berada ditangga teratas Kumpulan B dengan enam mata diikuti Terengganu tempat kedua dengan tiga mata serta Angkatan Tentera Malaysia dan Kuala Lumpur, masing-masing satu mata.