Menepati ramalan, Terengganu mara ke perlawanan akhir dan menghitung pertemuan dengan tuan rumah, Johor pada Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, esok.
Skuad bimbingan Asrul Hisyam Ahmad itu yang mencatat rekod sempurna apabila masih belum lagi tewas diberi tentangan sengit sebelum menundukkan Pahang 4-3 pada separuh akhir, hari ini.
Selaku pasukan pilihan dan diperkuatkan ramai pemain kebangsaan, Terengganu tersentak dengan gol awal Pahang yang membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim yang menyempurna pukulan sudut penalti untuk mendahului 1-0.
Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama, apabila Terengganu menyumbat gol penyamaan hasil kerja keras gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook selang dua minit selepas itu.
Terengganu yang memburu gol kedua akhirnya berjaya dijelmakan menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-30 untuk berada di depan 2-1, tetapi, Pahang bertindak pantas menjaringkan gol penyamaan pada minit sama melalui Muhammad Syawal Abdul Razak yang dihadiahkan ‘penalty shoot’.
Pahang yang diterajui jurulatih, Mohd Sufian Mohamad melipat gandakan asakan ke kubu tetangga dari Pantai Timur tanah air itu dan usaha tersebut membuahkan hasil apabila Muhammad Arif Syafie Ishak menjaringkan gol pada minit ke-39 hasil pukukan sudut penalti untuk kembali memintas dengan kedudukan 3-2.
Anak-anak buah Asrul Hisyam yang tidak rela berputih mata, meledakkan dua gol pada hujung saingan menerusi Faizal Saari pada minit ke-52 dan Mohamad Akhimullah menyumbat gol kemenangan ketika permainan berbaki tiga minit hendak berakhir.
Sementara itu, tuan rumah, Johor melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Perak dalam satu lagi separuh akhir.
Skuad bimbingan Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar itu mendahului selesa 3-0 menerusi tiga gol yang dijaringkan oleh Muhammad Faris Ros Fadillah (minit ke-6), Krishanraj Singh Gill Jagraj Singh (minit ke-29) dan Abdul Hamzah Yahkip (minit ke-52).
Namun, Perak yang berusaha bangkit berjaya memperoleh dua gol pada saat-saat akhir permainan menerusi jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (minit ke-56) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-58).
Bagaimanapun, kebangkitan pada lewat permainan gagal membantu anak-anak jurulatih, K. Rajan itu memburu gol penyamaan bagi mengheret Johor ke masa tambahan.