Malaysia Tigers muncul juara Piala Mirnawan 2024 selepas membenam Korea Selatan 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Skuad yang dibentuk daripada Program Pembangunan Hoki Nasional (NHDP) itu, bagaimanapun, ketinggalan seawal minit ke-7 selepas pemain pasukan lawan, Choe Dohyeon membolosi pintu gol wakil negara itu untuk mendahului 1-0.
Kedudukan tersebut kekal sehingga berakhir babak pertama permainan dan skuad bimbingan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin itu hanya berjaya membocori gawang Korea Selatan untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-38 hasil jaringan Aferull Syah.
Tidak terhenti setakat itu, Malaysia Tigers melipat gandakan asakan dan Aferul sekali lagi muncul wira pasukan apabila meledakkan gol pada minit ke-48 bagi meletakkan pasukan negara berada di depan 2-1.
Korea Selatan yang tersentak dengan dua jaringan tuan rumah, berjaya mengikat Malaysia Tigers 2-2 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Dohyeon hanya berselang seminit selepas itu.
Terdesak untuk memburu kejuaraan, Malaysia Tigers bertali arus mengasak kubu lawan dan jaringan kemenangan 3-2 akhirnya berjaya diledakkan kapten, Muhammad Safwan ketika permainan berbaki enam minit untuk tamat.
Pengendali Malaysia Tigers, Izwan Firdaus ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, persembahan berdispilin yang dipamerkan anak-anak buahnya menjadi kunci kepada kejayaan mereka.
“Alhamduillah di atas kejayaan pasukan hari ini, kita lihat dalam permainan tadi mereka (Korea Selatan) menerapkan permainan yang laju, saya sendiri telah mengingatkan para pemain agar mengekalkan aksi berdisiplin," katanya.
Menurut beliau, hanya dengan permainan yang berdisplin tinggi mampu mengatasi kelajuan permainan Korea Selatan dan ia berjaya dibuktikan Malaysia Tigers apabila mengekalkan kedudukan 3-2 ketika permainan hanya berbaki lima minit untuk tamat.
"Kita dapat lihat bagaimanan gol ketiga Malaysia Tigers berjaya dipertahankan pada hujung permainan dan sebab itu, saya arahkan pemain agar kekalkan persembahan yang berdisiplin," ujarnya.
Untuk rekod, pasukan hoki lelaki Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) merupakan juara pada kejohanan edisi sulung Piala Mirnawan selepas menundukkan Jepun 4-1, Disember 2022.
Sementara itu, dalam saingan wanita, Jepun muncul sebagai juara selepas menewaskan kelab dari Australia, Queensland 3-2 dalam perlawanan akhir.
Tiga gol Jepun dijaringkan oleh kapten pasukan, Kokona Tanaka (minit ke-9), Mami Nakano (minit ke-11) serta Miyu Yamada (minit ke-36), manakala dua gol Queensland disempurnakan Caitlyn Halliday (minit ke-21) dan Aryel Bisseling (minit ke-38).