Skuad hoki wanita negara memulakan kempen mereka dengan langkah kiri selepas tewas 0-4 ditangan pasukan tuan rumah, India, pada Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Rajgir, India, hari ini.
Pintu gol Malaysian Tigress dibolosi pada minit ke-8 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sangita Kumari sebelum beliau memuktamatkan gol kemenangan India menerusi gerakan padang pada minit ke-55.
Dua lagi gol tuan rumah terhasil menerusi jaringan Preeti Dubey pada minit ke-43 dan Udita selang seminit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, secara keseluruhan beliau masih berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sewaktu menentang India.
"Saya gembira dengan persembahan para pemain secara keseluruhannya, pasukan ini telah beraksi bersama sejak jelajah di Wales beberapa bulan lalu.
"Semua sedia maklum India merupakan pasukan pilihan dan mereka dibarisi dengan pemain yang cukup berpengalaman, malah, skuad India juga beraksi di dalam Liga Pro FIH," katanya.
Mengulas lanjut mengenai aksi skuad bimbingannya itu, Nasihin memberitahu, para pemain telah mempamerkan aksi baik di posisi pertahanan dan juga taktikal dengan tidak membenarkan India menjaringkan lebih banyak gol.
Jelasnya, penjaga gol, Siti Zalia Nasir telah mempamerkan persembahan yang baik, malah, para pemain turut mempunyai peluang menjaringkan gol, tetapi malangnya tindakan penyudah tidak begitu kemas.
"Kami mula mengubah corak permainan dengan melancarkan serangan pada suku ketiga dan keempat, tetapi benteng pertahanan India sangat berdisiplin.
"Kami hilang fokus pada suku ketiga sehingga membenarkan India menyumbat dua gol menerusi pukulan sudut penalti dan selain itu, aksi berintensiti tinggi mampu dipamerkan para pemain," ujarnya.
Dalam perlawanan berikut, Malaysia akan berdepan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 di Paris, China pada Selasa.
Bercakap tentang perlawanan menentang China, Nasihin berkata, pasukan kejurulatihan akan menganalisa rakaman perlawanan antara China bertemu Thailand.
"Saya berharap bertemu China, para pemain akan mempamerkan prestasi yang lebih baik," tambahnya.
China membelasah Thailand 15-0 dalam perlawanan yang turut berlangsung, hari ini.