Nasib tidak menyebelahi skuad hoki wanita kebangsaan, apabila mereka tewas tipis kepada Jepun 1-2 pada Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigress kini kekal dengan tiga mata daripada satu kemenangan dan tiga kekalahan.

 

Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang remaja negara, Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-26.

 

Namun, kedudukan 1-0 itu tidak mampu dipertahankan Malaysian Tigress apabila pintu gol mereka akhirnya dibolosi ketika permainan memasuki suku keempat perlawanan.

 

Jepun memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan Malaysia dengan meledakkan dua gol menerusi Shiho Kobayakawa (minit ke-49) dan Miyu Hasegawa (minit ke-51).

 

Malaysian Tigress akan berdepan Thailand, esok, dalam perlawanan terakhir yang dilangsungkan secara round robin dan misi wajib menang diburu anak-anak buah Nasihin jika berhajat menghidupkan peluang mereka ke separuh akhir.

 

Namun, skuad negara dalam masa sama juga perlu mengharapkan Korea Selatan tunduk kepada China, manakala, Jepun tewas di tangan India.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin berkata, perlawanan, hari ini, anak-anak buahnya bermula agak kurang baik, namun, mereka berjaya mengekang lawan daripada menjaringkan gol.

 

“Kita juga berpeluang mendahului pertemuan itu dan akhirnya usaha tersebut berhasil selepas pemain muda kita Nur Iman menjaringkan gol buat skuad negara.

 

“Kejayaan Nur Iman menjaringkan gol membuktikan ramai pemain muda kita mempamerkan peningkatan jika dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini,” katanya.

 

Mengulas mengenai kegagalan Malaysian Tigress mengekang dua gol Jepun, Nasihin memberitahu, kesilapan teknikal telah menjadi punca kepada kekalahan pasukan kebangsaan.

 

Jelasnya, kelemahan tersebut harus diperbaiki menjelang perlawanan terakhir peringkat round robin menentang Thailand.

 

“Kesilapan teknikal yang dilakukan para pemain harus diperbaiki dan tidak boleh diulang dalam perlawanan seterusnya.

 

“Kita akan berdepan Thailand selepas ini dan kita hanya mahu menang,” tegasnya.