Young Tigers – Bangladesh Terikat Seri 2-2 Di Oman

Skuad hoki remaja lelaki negara terikat seri dengan Bangladesh 2-2, dalam perlawanan ketiga Kumpulan B pada Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman, hari ini.   Young Tigers yang masih mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sejak tiba di Muscat, bermula garang apabila berjaya membolosi pintu gol Bangladesh seawal minit ke-2 hasil jaringan padang yang disudahkan pemain tengah, Muhammad Danish Danial Abdul Wahab.   Bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila Bangladesh yang dibimbing Mohammad Moududur Rahman berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1, selepas pemain mereka, Amirul Islam meledakkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27.   Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.   Sebaik permainan disambung semula, Young Tigers pantas dihukum Bangladesh hasil gerakan yang dilakukan oleh Md Hassan bagi meletakkan pasukannya mendahului 2-1 menerusi gol padang pada minit ke-36.   Malaysia yang diterajui ketua jurulatih I. Vikneswaran, tersentak dengan jaringan itu telah melipat gandakan asakan ke kubu lawan dan usaha tersebut membuahkan hasil apabila Young Tigers dihadiahkan pukulan sudut penalti.   Tonggak tengah Young Tigers, Muhammad Khairul Norizam memanfaatkan peluang tersebut dengan baik apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40 dan sekali gus, mengikat Bangladesh dengan kedudukan 2-2.   Usaha untuk memburu gol kemenangan gagal dijelmakan barisan pemain remaja negara apabila mereka terpaksa berpuas hati mengutip satu mata daripada pertemuan tersebut.   Selepas tiga perlawanan dengan dua kemenangan dan sekali seri, Young Tigers kini mengumpul 7 mata untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan B.   Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak akan kekal lama apabila Pakistan yang kini menghuni tempat kedua dengan enam mata hasil daripada dua kemenangan, bakal turun beraksi menentang tuan rumah, Oman sebentar lagi.   Jika Pakistan mencatat kemenangan, maka, kedudukan teratas itu akan diambil alih mereka dan Young Tigers bakal jatuh ke tangga kedua.   Sekiranya Malaysia berhajat untuk muncul juara Kumpulan B dan sekali gus memastikan slot separuh akhir menjadi milik Young Tigers, skuad remaja negara perlu memburu kemenangan ke atas Pakistan dalam perlawanan terakhir, esok pada pukul 8.45 malam waktu Malaysia.   Seandainya keputusan seri dicatat menentang Pakistan, maka, Malaysia akan muncul selaku naib juara dan sekiranya mereka tewas, sementara, Bangladesh berjaya mengetepikan China, esok, nasib Young Tigers terpaksa diputuskan melalui kelebihan perbezaan jaringan.