Young Tigers Di Tangga Keempat Piala Remaja Asia

Young Tigers akhiri cabaran Piala Remaja Asia 2024 di kedudukan keempat, selepas tewas tipis 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 di Muscat, Oman, hari ini.

 

Skuad muda Malaysia itu yang terlepas peluang menaiki podium, selepas dibolosi seawal minit ke-7 hasil gol padang Tsubasa Tanaka.

 

Jepun yang dibimbing Yoshihiro Anai meneruskan asakan mereka ke pintu gol Young Tigers yang dikawal ketat penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini, dilihat mendominasi aksi pada suku pertama.

 

Mohamad Rafaizul akhirnya tertewas buat kali kedua apabila Yuma Fujiwara meletakkan Jepun mendahului 2-0 hanya berselang dua minit selepas gol pertama mereka.

 

Anak-anak buah I. Vikneswaran berusaha untuk bangkit bagi merapat jurang gol dan akhirnya ikhtiar itu membuahkan hasil melalui penyerang, Mohammad Harris Iskandar Osman yang menyempurnakan dengan baik pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

 

Malaysia yang masih belum berputus harap bekerja keras untuk memburu jaringan penyamaan menerusi penguasaan bola khususnya pada suku keempat perlawanan, namun, rezeki tidak berpihak kepada Young Tigers.

 

Keputusan kekal Malaysia tewas 1-2 di tangan Jepun.

 

Kekalahan Young Tigers kepada Jepun di Muscat adalah yang ketiga bagi pertemuan mereka pada tahun ini, selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu di Piala Sultan Johor, Oktober lalu.

 

Namun begitu, walaupun tewas Young Tigers telahpun mengesahkan tempat ke Piala Dunia Remaja di India, tahun depan selepas muncul sebagai empat pasukan terbaik di Muscat.

 

Selain Jepun di kedudukan ketiga, India dan Pakistan yang berentap dalam perlawanan akhir bagi merebut kejuaraan Piala Remaja Asia 2024 mengisi tiga slot teratas bagi benua Asia.

 

Memandangkan India yang layak secara automatik selaku tuan rumah, maka, pasukan di tangga ketujuh iaitu Thailand turut mencipta sejarah layak ke Piala Remaja Dunia mengiringi Bangladesh dan juga China yang menamatkan saingan mereka di kedudukan kelima serta keenam.