Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan perlu melakukan persediaan awal menjelang Piala Remaja Dunia yang akan dilangsungkan di India pada Disember tahun depan.

 

Ketua jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran berkata, berdasarkan persembahan yang dipamerkan Young Tigers pada Piala Remaja Asia 2024 yang berakhir di Muscat, Oman, semalam, masih banyak yang perlu ditingkatkan anak-anak buahnya itu.

 

“Saya percaya kita harus berlatih lebih awal bagi persiapan menjelang Piala Dunia di mana skil asas para pemain perlu diperbaiki segera.

 

“Kemahiran asas ini sangat penting dalam permainan di tahap tinggi iaitu menolak, memukul, melakukan gelecek, mengawal bola melalui hantaran di udara dan juga kemahiran di depan pintu gol,” katanya dalam satu kiriman video dari Muscat, hari ini.

 

Young Tigers menamatkan saingan pada Piala Remaja Asia di kedudukan keempat selepas tewas tipis 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4, semalam.

 

Melengkapkan aksi di kedudukan keempat juga menyaksikan Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Remaja Dunia 2025 di India.

 

Vikneswaran memberitahu, kemahiran para pemainnya di depan pintu gol perlu diperbaiki segera kerana tindakan penyudah yang lebih berkesan amat diperlukan apabila berdepan pasukan handalan nanti.

 

“Sewaktu di depan gawang kita perlu bijak kawal emosi, tidak perlu memukul bola sekuat hati kerana apa yang perlu dibuat pemain ialah beraksi dengan tenang dan perlu bijak mencari ruang untuk menjaringkan gol,” ujarnya.

 

Selain itu, beliau menjelaskan, pukulan sudut penalti juga perlu diperkemaskan tidak kira ketika pasukan sedang melancarkan serangan atau bertahan.

 

“Banyak gol kita bolos melalui pukulan sudut penalti dan ini satu aspek yang kita harus perbaiki walaupun saya sedar pasukan lain juga banyak bolos melalui pukulan ini.

 

“Tetapi kalau kita dapat kurangkan dalam 50 peratus gol dibolosi melalui pukulan sudut penalti, saya yakin kita mampu meraih kemenangan dalam perlawanan penting,” tegasnya.