Young Tigress terpaksa berpuas hati melengkapkan aksi Kumpulan A di kedudukan ketiga selepas tewas kepada China 0-4 pada Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, hari ini.
China yang merupakan pendahulu Kumpulan A setelah mengumpul 12 mata dengan rekod sempurna tanpa kalah, bukanlah tandingan skuad remaja negara.
Kekalahan itu bermakna Young Tigress gagal mara ke separuh akhir yang menawarkan tempat secara automatik ke Piala Remaja Dunia di Santiago, Chile pada Disember tahun depan.
Namun begitu, masih ada satu lagi slot iaitu pasukan yang menamatkan saingan di tangga kelima akan turut mendapat tiket ke Chile.
Justeru, walaupun tewas, peluang Young Tigress untuk melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia masih belum tertutup.
Malaysia akan beraksi dalam perlawanan penentuan di tangga ke-5/8 menentang Hong Kong yang menamatkan aksi Kumpulan B di tempat keempat.
Jika mereka berjaya menewaskan Hong Kong, maka, Young Tigress perlu beraksi sekali lagi menentang pemenang di antara Taiwan dan Thailand bagi menentukan kedudukan ke-5/6.
Ketua jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hassan berkata, China merupakan pasukan yang kuat di dalam Kumpulan A, walaupun, skuad negara tewas, tetapi, para pemain telah mempamerkan prestasi baik berbanding aksi terdahulu.
“Saya harap mereka akan terus fokus dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/8 menentang Hong Kong, jadi, saya telah merancang beberapa strategi untuk memberikan kemenangan kepada pasukan kita pada Sabtu nanti,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Mengulas mengenai kejayaan penjaga gol, Nur Hazlinda Zainal Abidin yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik, Lailin memberitahu, pemain itu sememangnya menunjukkan prestasi membanggakan apabila banyak membantu pasukan bertahan terutama apabila China mendapat pukulan sudut penalti.
“Kita dapat lihat dia menunjukkan kebolehan sebenarnya sebagai penjaga gol dan dia memang layak terima anugerah yg diberikan sebentar tadi,” ujarnya.
Dalam aksi berdepan China, skuad negara yang berhajat mempamerkan persembahan berdisiplin tinggi bagi mengekang pintu gol dibolosi, tidak mampu melaksanakan misi itu apabila Hao Guoting meledakkan gol padang bagi meletakkan China mendahului 1-0 seawal minit keempat.
Guoting sekali lagi menghadirkan masalah di benteng pertahanan Malaysia apabila dia menyumbat gol kedua China juga melalui jaringan padang pada minit ke-17.
Walaupun Nur Hazlinda mengawal ketat gawangnya, namun, kesilapan benteng pertahanan negara dihukum buat kali ketiga selepas Lei Jiajing menyempurnakan jaringan padang pada minit ke-49.
China yang dihadiahkan pukulan sudut penalti, memanfaatkan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol keempat yang disempurnakan dengan baik oleh Tan Jinzhuang enam minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir.









