Blue Warriors Teruskan Rekod Sempurna

Blue Warriors semakin mengukuhkan cengkaman mereka di persada carta TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 (Wanita) selepas menewaskan Qnet Phoenix 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Sabtu (25 Januari).

 

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad bimbingan, Megat Azrafiq Megat Termizi itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas melakar kejayaan dalam kesemua empat perlawanan setakat ini.

 

Kejayaan tersebut bermakna Blue Warriors kini mengumpul 12 mata, dipisahkan lapan mata berbanding pasukan di tangga kedua iaitu Qnet Phoenix yang mengutip empat mata daripada empat pertemuan.

 

Dalam pertembungan kedua-dua pasukan, semalam, Blue Warriors yang diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan membuka jaringan menerusi Fatin Shafika Mahd Sukri hasil gol padang pada minit keenam.

 

Bagaimanapun, Qnet Phoenix berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas Zawiatul Akma Hartomo menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

 

Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan itu sehingga wisel suku kedua dibunyikan oleh pengadil.

 

Blue Warriors yang enggan berputih mata, kembali menggandakan asakan sebaik permainan disambung semula pada suku ketiga dan kerja keras mereka membuahkan hasil apabila Nurul Safiqah Mat Isa menggegar pintu gol lawan pada minit ke-45 selepas dihadiahkan penalti stroke oleh pengadil.

 

Pemain berpengalaman skuad kebangsaan, Hanis Nadiah Onn memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Blue Warriors selepas dia menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-60.

 

Keputusan 3-1 kekal berpihak kepada pendahulu TNB MHL 2025 (Wanita) itu sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

 

Megat Azrafiq ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya dalam empat perlawanan mereka setakat ini.

 

“Saya tidak memikirkan tentang gelaran liga pada ketika ini memandangkan kami masih mempunyai dua perlawanan berbaki.

 

“Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten mungkin pasukan tercorot selepas tewas dalam dua perlawanan mereka setakat ini, tetapi, kami enggan memandang rendah keupayaan lawan,” katanya.

 

Jelas beliau, untuk satu lagi pasukan iaitu NT Stingers, skuad bimbingannya tidak pernah bertemu dengan pencabar mereka itu termasuk kekuatan yang dimiliki lawan dan pertemuan terakhir itu nanti masih dianggap penting untuk memburu kemenangan.

 

Untuk perlawanan pada Ahad (26 Januari), Negeri Sembilan akan menerima kunjungan Malaysian University di Stadium Hoki 2, Seremban pukul 4 petang.

 

Liga akan berehat bermula 27 Januari sehingga 3 Februari bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baru Cina dan TNB MHL akan disambung semula pada 4 Februari.