Juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menghambat pendahulu TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Pasukan Hoki Terengganu (THT), selepas menewaskan UiTM HA-KPT 4-2 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad (26 Januari).
Skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu kini berada di tangga kedua liga dengan 12 mata daripada lima perlawanan, kurang satu pertemuan berbanding THT yang telahpun bermain enam perlawanan dalam saingan Premier.
THT pula masih belum kalah selepas mencatat enam kemenangan dan mengumpul 18 mata untuk kekal berada di persada liga selepas menjulang Piala Sumbangsih dalam aksi pembuka musim, awal bulan ini.
Dalam perlawanan berdepan UiTM, TNB membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi gol padang pemain kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.
TNB terus beraksi cemerlang apabila seorang lagi pemain negara, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan pasukannya mendahului 2-0 pada minit ke-6 permainan.
Namun begitu, UiTM yang diterajui jurulatih, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar berjaya mengikat TNB 2-2 apabila Airil Abdul Razak serta Muhammad Aiman Hakimi Mohd Badrul Hisham masing-masing menyumbang satu gol pada minit ke-11 dan ke-25.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, TNB berusaha bangkit dan mereka tidak perlu menunggu lama apabila Wan Haziq Hishamuddin Wan Ameer Ruzman kembali meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-30.
Tidak terhenti setakat itu, TNB terus melebarkan kedudukan menerusi jaringan pemain kebangsaan, Norsyafiq Sumantri berselang 10 minit selepas itu.
Kekalahan dialami UiTM meletakkan pasukan tersebut di tangga kelima dan mengumpul enam mata daripada enam perlawanan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung lebih awal di venue sama berkesudahan TNB Thunderbolts mengalahkan Kelab Hoki Matador 6-2.
Enam gol yang diledakkan skuad bimbingan M. Kaliswaran disempurnakan oleh Shafy Shahymm Huzzeini Shahrul Azran Huzzeini (minit ke-8, ke-45, ke-57), Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi (minit ke-13), Azimuddin Syakir Kamaruddin (minit ke-18) dan Muhammad Haziq Zunnurain Mohd Azhary (minit ke-53).
Matador pula yang memperoleh dua gol dijaringkan oleh S. Yashvindraa (minit ke-28) dan Ahmad Shakeel Butt (minit ke-50).
Kemenangan itu menyaksikan TNB Thunderbolts kini mengumpul sembilan mata daripada lima perlawanan untuk menghuni tempat keempat, manakala, Matador di tangga ketujuh selepas hanya mengutip tiga mata daripada lima pertemuan.