Malaysia Mulakan Kempen Piala Dunia Dengan Langkah Kiri

Penampilan pertama Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan tidak berakhir dengan keputusan positif selepas tewas 4-12 kepada gergasi dunia, Jerman dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Porec, Croatia, sebentar tadi.   Empat gol Malaysia yang terhasil hari ini disumbang oleh Abdul Khaliq Hamirin pada minit keempat dan ke-25, Muhammad Firdaus Omar (m-11) dan Najmi Farizal Jazlan(m-23).   Aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika itu menyaksikan Nicolas Proske dan Ben Hasbach masing-masing menjaringkan empat gol daripada 12 gol terhasil ketika membantu Jerman yang pernah dinobatkan selaku juara sebanyak tiga kali meraih kemenangan pertama.   Empat lagi gol diperolehi skuad kendalian Jan Rabente dijaringkan oleh Paul Dosch, Alex von Schwerin, Anton Boeckel dan Max Silanoglu dengan masing-masing menyumbang satu gol.   Ketua jurulatih negara, Rodzhanizam Mat Radzi menyifatkan kekalahan kepada Jerman kerana kesilapan mudah yang dilakukan oleh pemain-pemain tetapi secara keseluruhan mereka telah memberi aksi terbaik.   "Perlawanan pertama kita kalah dengan pasukan yang kuat, Jerman 12-4. Bagi kita walaupun satu jaringan yang besar kita kalah tetapi pemain-pemain sudah bermain dengan baik cuma ada beberapa kesilapan kecil dan mudah dilakukan pemain. Ini menyebabkan Jerman dapat menjaringkan gol.   "Kalau diikutkan bila kita lihat permainan bukan dikatakan kita tidak boleh bermain dengan baik cuma kesilapan ini membuat pihak lawan dapat menjaringkan gol.   "Kalau dilikat kami dapat menjaringkan gol dalam satu masa dapat menyamakan kedudukan 4-4 namun di suku ketiga dan keempat beberapa kesilapan mudah dilakukan pemain, pasukan tidak dapat membuat satu pertahanan yang baik dan ini menyebabkan pasukan lawan menjaringkan gol. Tapi saya rasa pemain sudah berikan yang terbaik," katanya selepas perlawanan itu.   Mengulas mengenai perlawanan esok menentang Argentina, Rodzhanizam optimis mata pertama mampu dikutip anak buahnya selepas menilai corak permainan lawannya ketika tewas 3-5 kepada Iran.   Katanya, untuk layak ke suku akhir, Malaysia perlu menang ke atas Argentina esok dan Iran pada Khamis ini.   "Bagi perlawanan esok menentang Argentina kita telah lihat, mereka berlawan dengan Iran sebentar tadi dan dengan corak permainan yang kita akan gunakan apabila berdepan dengan pasukan Argentina, saya rasa tidak ada masalah.   "Kita perlu menang untuk aksi kedua berdepan Argentina dan perlu kurangkan jumlah bolos apabila menentang Argentina dan Iran. Ini yang kita perlu perbaiki dan mata penting perlu dikutipa apabila berdepan Argentina dan Iran. Pemain akan berikan yang terbaik esok," ujarnya.   Jerman kita menerajui kedudukan teratas Kumpulan B dengan tiga mata manakala Iran di tangga kedua dengan tiga mata juga namun dibezakan dengan jaringan gol manakala Argentina ketiga dan Malaysia keempat.