Blue Warriors Hampiri Gelaran Juara Liga

Blue Warriors semakin menghampiri trofi kedua dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 Wanita selepas mencatat kemenangan besar 14-0 ke atas Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN, hari ini.   Keputusan itu juga menyaksikan skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi melakar kemenangan kelima berturut-turut untuk mengumpul 15 mata dengan berbaki satu perlawanan.   Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Hanis Nadiah Onn dan Eun Ji Cho muncul penjaring terbanyak perlawanan apabila masing-masing menjaringkan tiga gol buat Blue Warriors.   Seul Ki Cheon dan Raja Norsharina Raja Shabuddin pula masing-masing meledak dua gol manakala Nur Aisyah Hashim, Norazlin Sumantri, Liyana Aqilah Mohd Sepawi serta Nur Afiqah Syahzani Azhar masing-masing menghadiahkan satu gol bagi melengkapkan kemenangan bergaya itu.   Jumlah jaringan terbanyak dicatat Blue Warriors pada perlawanan itu adalah pada suku ketiga dengan lapan gol terhasil manakala suku pertama (2), suku kedua (1) dan suku keempat (3).   Walaupun semakin menghampiri gelaran juara, Megat Azrafiq enggan menyambut kejayaan itu terlalu awal kerana status itu belum boleh dimuktamatkan kerana mereka masih memiliki satu lagi perlawanan iaitu menentang Territory Stingers pada 13 Februari ini.   Jelasnya, kemenangan terbesar dicatat anak buah pada hari ini adalah hasil usaha keras setiap pemain serta memanfaatkan peluang dicipta sebaik mungkin dengan jaringan.   "Alhamdulillah kemenangan kelima kami. Secara keseluruhan perlawanan ini, kita beraksi dengan sangat baik terutama di suku ketiga.   "Objektif hari ini selain meraih tiga mata saya memfokuskan aspek ketajaman penyudah samada melalui jaringan padang atau pukulan sudut penalti. Semua pemain berjaya menterjemahkan dengan baik dalam perlawanan ini.   "Secara tidak langsung kita berada di landasan yang betul untuk memburu piala kedua kami. Apapun masih ada lagi satu perlawanan menentang Territory Stingers yang perlu kita fokus bagi mengesahkan kejuaraan selaku juara liga," katanya selepas perlawanan.   Terdahulu, satu lagi aksi di saingan wanita menyaksikan QNET Phoenix menang 2-1 ke atas Armed Forces HT di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.   Sementara itu, bagi saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 Premier, Territory Stingers menang 3-1 ke atas Nurinsafi Sporting dalam aksi  yang berlangsung di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.   Territory Stingers membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi penalti stroke yang disempurnakan oleh Adrian Daniel Lockley namun Nurinsafi Sporting menyamakan kedudukan pada minit ke-18 apabila Putra Ahmad Syahmie Ahmad Asward menyudahkan pukulan sudut penalti.   Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Territory Stingers memperolehi dua gol iaitu jaringan padang yang diledak oleh Jason Ramon Talbot pada minit ke-23 dan Adrian Daniel menyudahkan pukulan sudut penalti di penghujung suku keempat.