Terengganu Hockey Team (THT) mengesahkan kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Kategori Premier selepas membenam Territory Stingers 1-4 pada aksi yang berlangsung di Padang Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom melakar rekod bersih dengan sembilan kemenangan bagi mengumpul 27 mata.
Pada aksi itu, kem THT terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit kelima Territory Stingers yang diledak oleh Isaac Aaron Farmilo menerusi gol padang.
Tersentak dengan jaringan itu, THT meningkatkan intensiti serangan dan hasilnya Faizal Saari berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti.
Penyerang sensasi THT itu terus membuktikan ketajamannya apabila mencetak tiga lagi gol masing-masing pada minit ke-24, 32 dan 33 sekali gus memberi kemenangan bergaya buat pasukan Pantai Timur tersebut.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Mohd Harfizi mengakui pemain-pemain mempamerkan corak permainan seperti biasa dan tidak panik walaupun terlebih dahulu ketinggalan satu gol.
Mohd Harfizi berkata, THT tiada meletakkan sasaran untuk memenangi tiga kejuaraan sekali gus tetapi bersedia memberi fokus sepenuhnya untuk saingan Piala TNB.
"Alhamdullilah pemain-pemain THT dapat mengekalkan momentum permainan mereka seperti biasa walaupun Territory menjaringkan gol awal dan mendahului 1-0. Namun pemain kekal tenang untuk bangkit dengan menjaringkan empat gol.
"Kita tidak letak sasaran untuk menang tiga piala tetapi kita mahu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan kita tengok sejauh mana kemampuan pasukan mencabar kejuaraan seterusnya.
"Alhamdullilah Piala Sumbangsih sudah tercapai dan hari ini Piala liga juga menjadi milik kita. Jadi kita akan fokus untuk Piala TNB yang akan buka saingan minggu depan," katanya selepas perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan TNB MHL 2025, Premier menyaksikan Tenaga Nasional Berhad menang 3-0 ke atas Maybank.
Sementara itu, bagi aksi kategori wanita melibatkan perlawanan antara Malaysian University berdepan Territory Stingers terpaksa ditunda ke hari ini selepas keadaan cuaca yang teruk semalam.
