THT, TNB Berentap Di Final Keempat Berturut-Turut

Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad sekali lagi bertembung di pentas final dan ia merupakan kali keempat berturut-turut dalam perebutan Piala TNB.   Untuk rekod, pertemuan pertama mereka di pentas final adalah pada tahun 2022 yang menyaksikan THT tewas 2-3 kepada TNB, diikuti edisi 2023 THT menang 2-1 serta edisi 2024, THT tunduk 2-4.   Kali ini kedua-dua pasukan sekali lagi berentap merebut kejuaraan Piala TNB 2025 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini (22 Februari) dan tentunya menjanjikan saingan sengit serta menghiburkan untuk disaksikan peminat-peminat hoki tanah air.   Pada aksi separuh akhir, THT yang memburu gelaran treble dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menjinakkan Matador Hockey Club 1-0 di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.   Skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom terpaksa menunggu sehingga minit ke-40 untuk merobek gawang Matador menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain sensasi mereka, Faizal Saari.   Jaringan tunggal itu, sudah cukup untuk membawa THT mara ke pentas final buat kali keempat berturut-turut dan menghampiri gelaran treble musim ini.   "Seperti jangkaan kami, perlawanan hari ini akan berlangsung sengit dan kami tahu pemain-pemain Matador akan bermain mati-matian untuk mendapat slot ke final.   "Tetapi pemain-pemain berjaya menunjukkan semangat juang tinggi dan saya bangga dengan mereka terutama benteng pertahanan yang berjaya mengekang beberapa asakan berbahaya Matador. Secara keseluruhan semua pemain menjalan tugas masing-masing dengan baik.   "Untuk final bertemu TNB, Insyallah perancangan strategi akan dilakukan bersama-sama pemain esok. Kita juga harap pemain-pemain senior yang memiliki pengalaman bermain di final dalam beberapa edisi, dapat menggunakan pengalaman itu bagi membantu pasukan memburu kejuaraan treble," katanya selepas perlawanan.   Dalam satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan TNB melakar kemenangan 7-4 ke atas Maybank di venue sama untuk mara ke pentas final.   Tiga pemain TNB berjaya meledak dua gol iaitu Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-17, 36, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-51, 60) dan Jang Jong Hyun (m-1, 59) manakala satu lagi jaringan disumbang oleh Norsyafiq Sumantri (m-42) untuk memberi kemenangan bergaya buat TNB.   Gol Maybank pula hasil jaringan Mohamad Ashran Hamsani, Muhammad Shafiq Hassan, Govers Kieran Ian dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah.   Bagi Ketua Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin melihat aksi final berdepan THT bakal menjanjikan perlawanan sengit dan anak buahnya telah bersedia untuk memberi aksi terbaik.   "TNB tidak boleh buat banyak kesilapan dan perlu banyakkan peluang dalam kotak D bagi mencipta kemenangan. Ini final keempat buat kedua-dua pasukan, jadi perlawanan pasti berlangsung sengit, kita akan beri yang terbaik pada Sabtu ini," jelasnya.