Dua aksi final yang akan berlangsung Sabtu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menjanjikan saingan sengit untuk ditonton peminat-peminat hoki tanah air yang melibatkan empat pasukan berentap merebut Piala TNB dan Piala Vivian May Soars.
Untuk aksi Piala TNB menyaksikan pertemuan final empat kali berturut-turut melibatkan pasukan sama iaitu di antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
THT yang memburu kejuaraan treble musim ini selepas memiliki dua kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih dan juara TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 bagaimanapun berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Nor Saiful Zaini.
Ketua Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom akui kejayaan pasukannya merangkul dua kejuaraan menjadi motivasi terbaik dalam memburu trofi ketiga dengan bersandarkan pengalaman pemain-pemain yang telah beberapa kali beraksi di pentas final.
"Kita sedia tahu bahawa TNB bukan calang-calang pasukan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri, terutamanya daripada serangan mereka yang telah menghasilkan banyak gol masa liga dan aksi kalah mati sebelum ini.
"Kita kena berwaspada dengan ancaman mereka supaya dapat meneruskan misi pemburuan Piala TNB. Kita akan menjadikan kemenangan kita pada Piala Sumbangsih dan liga tempoh hari sebagai satu motivasi.
"Kita perlukan pengalaman pemain kita yang pernah bermain dalam beberapa siri pelawanan akhir untuk dijadikan sebagai kekuatan pasukan kita esok (hari ini)," katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala TNB di Bukit Jalil.
Ini merupakan kali keempat berturut-turut kedua-dua pasukan bertemu di pentas akhir yang menyaksikan THT memenanginya pada 2023 manakala TNB menjuarainya pada 2022 serta 2024.
Bagi pengendali TNB, Nor Saiful Zaini beliau menegaskan berdepan pasukan seperti THT, pemain-pemainnya perlu mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan beliau akui mereka telah memiliki perancangan terbaik untuk digunakan pada perlawanan akhir.
Jelas Nor Saiful, jika anak buahnya berhasrat menjadi juara mereka perlu memanfaatkan peluang diperolehi sebaik mungkin.
"Kalau ingat balik aksi pertama menentang THT pada perlawanan Piala Sumbangsih, kita banyak buat kesilapan dan gagal memanfaatkan peluang tetapi aksi itu memberi kita pengajaran berguna.
"Setiap perlawanan kita guna strategi berbeza dan untuk final kita sudah ada perancangan. Kita perlu bermain dengan mudah, ikut perancangan, bermain sebagai satu pasukan dan cepat menyesuaikan diri dalam perlawanan itu," katanya.
Sementara itu, untuk perlawanan final Piala Vivian May Soars menemukan Blue Warriors dan Malaysian University yang akan berlangsung di venue sama.
Ketua Jurulatih Blue Warriors, Megat Azrafiq Megat Termizi berkata beliau tidak menggesa pemain-pemainnya untuk mengejar kejuaraan treble, sebaliknya meminta mereka menikmati perlawanan final ini.
Katanya, pasukan Malaysian University (MU) telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan beliau menjangkakan aksi sengit bakal ditempuh anak buahnya.
"Untuk Blue Warriors kita tahu pasukan Malaysian University bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan, masa kita menang Piasa Sumbangsih perlawanan berlangsung sengit.
"Dua perlawanan terakhir saya perhatikan corak permainan Malaysian University banyak peningkatan jadi saya menjangkakan aksi final yang sengit. Saya tidak tekankan pemain untuk kejar kejuaraan treble, saya lebih fokuskan kepada kesungguhan dan keinginan mereka serta menikmati perlawanan ini," jelasnya.
Dalam pada itu, pengendali Malaysian University Ikmal Abdul Jabar meminta anak didiknya untuk bermain dibawah tekanan dan memberi aksi terbaik kerana sedar Blue Warriors dibarisi pemain-pemain berpengalaman.
"Berada di perlawanan akhir sudah menjadi satu kejayaan. Kita akan bermain tanpa tekanan kerana tahu Blue Warriors telah menang Piala Sumbangsih dan liga.
"Pasukan Blue Warriors dibarisi bekas pemain kebangsaan dan olimpian. Itu akan jadi cabaran untuk kita pada perlawanan akhir ini. Saya harap pemain masuk dalam padang tanpa tekanan dan cuba sehabis baik," ujarnya.
