TNB MIHL 2025 Lebih Meriah, 19 Pasukan Rebut Kejuaraan

Kejohanan TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025, Edisi Ke-4 yang bakal membuka tirai pada 19 hingga 27 April 2025, bakal berlangsung lebih meriah dan sengit tahun ini susulan penambahan lima pasukan baharu iaitu tiga pasukan bagi kategori lelaki dan dua untuk wanita.

Tiga pasukan baharu lelaki itu adalah JM Hawks, RMR HC dan Johor manakala bagi pasukan kategori wanita pula menyaksikan penyertaan PDRM Blue Warriors serta ⁠JM Auroras.

 

Tujuh lagi pasukan dalam kategori lelaki adalah, juara bertahan, Maybank diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Armed Forces HT (ATM), Perlis Mighty Lion, Terengganu Hockey Team (THT) dan Malaysian University (MU).

 

Manakala bagi pasukan wanita pula menampilkan DBKL HT sebagai juara bertahan, MOHC-MHA,  Malaysian University (MU), BNHC KL, Wipers, CS Mustang HT dan Mutiara-MSSPP-PSHA-UNITEN.

 

Kejohanan kali ini juga akan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) melibatkan 20 perlawanan di Saluran Sukan RTM dan TV Okey.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), En. Shurizan Mansor berkata pada tahun ini dengan penambahan pasukan baharu, ia akan memperbanyakkan lagi jumlah perlawanan dan menjadikan saingan lebih meriah.

 

Katanya, tentu sekali dalam setiap kejohanan dianjurkan mempunyai objektif yang ingin dicapai antara memberi peluang untuk pemain-pemain sukan ini menunjukkan kemahiran dimiliki dan menyaksikan perlawanan berkualiti kepada peminat-peminat hoki tanah air.

 

"Tahun ini melibatkan penyertaan 10 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita dalam merebut kejuaraan TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia 2025.

 

"Ini menjadi platform untuk pemain-pemain kelab menunjukkan kemahiran tinggi untuk sukan hoki dalam dewan. Pemain kebangsaan yang bermain dengan kelab masing-masing juga dapat membimbing rakan mereka dengan teknik dan taktikal terkini.

 

"Pemain dan peminat dapat merasai pengalaman bermain dan menonton di gelanggang yang baru, khas untuk sukan hoki dalam dewan," katanya.

 

Pada Februari lalu, menyaksikan Skuad Hoki Lelaki Dalam Dewan Kebangsaan berjaya menamatkan kempen Piala Dunia di Porec, Croatia, dikedudukan ke-11 dunia dan ia merupakan kali pertama Malaysia menjejak kaki ke kejohanan berprestij itu.

 

Justeru, En. Shurizan berharap kejohanan kali ini juga mampu melahirkan bakat baharu yang dapat diserapkan ke dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

 

"Kami juga berharap, kejohanan ini mampu melahirkan bakat-bakat baru untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

 

"Selain itu, ini juga platform untuk pegawai dan pengadil serta jurulatih mencari pengalaman dalam kejohanan peringkat tinggi," jelasnya.