Pahang merangkul gelaran juara Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan Lelaki 2025, Edisi Ke-4 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan shoot-out, 4-3 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Aksi hebat ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dalam masa permainan sebenar yang menyaksikan mereka terikat seri 2-2 dan sekaligus memaksa perlawanan diheret ke penentuan shoot-out bagi mencari pemenang.
ATM terlebih dahulu di depan pada minit ketiga menerusi gol padang Muhamad Nazrey Din dan Mohamad Sufian Marsom melebarkan kedudukan pada minit kesembilan untuk ATM terus selesa memimpin perlawanan 2-0.
Pahang bagaimanapun dilihat tidak menyerah kalah apabila bangkit dengan dua gol penyamaan pada minit ke-12 dan m-20 menerusi jaringan gol padang Ismail Abu yang turut meraih gelaran pemain terbaik perlawanan akhir, dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.
Ketua Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad telah menjangkakan tentangan sengit bakal diberikan oleh ATM pada perlawanan akhir itu.
Bagaimanapun beliau memuji semangat juang dan disiplin tinggi yang ditunjukkan anak buahnya selain mengikuti segala perancangan yang telah disusun oleh pasukan.
“Alhamdulillah kita dapat kembali meraih kejuaraan setelah kita terlepas pada tahun lepas di tangan Perak. Saya telah menjangkakan pertemuan dengan ATM bukan aksi yang mudah kerana dapat dilihat daripada awal lagi mereka merupakan pasukan yang kuat pada tahun ini.
“Saya memang telah jangkakan ATM akan ke final. Cuma saya cakap kepada pemain-pemain saya, supaya ikut apa yang kita rancang. Kita terlebih dahulu ketinggalan dua gol tetapi saya tahu pemain-pemain saya mampu buat comeback dan mereka berjaya mendapat dua gol untuk ikat kedudukan 2-2.
“Walaupun kita tidak boleh menang dalam masa perlawanan sebenar tetapi memang saya percaya kepada pemain saya untuk menang di shoot-out. Saya juga harap pemain-pemain saya yang muda diserap dalam pasukan kebangsaan untuk membawa cabaran di Sukan SEA.
“Saya juga nampak ada beberapa pemain daripada pasukan ATM yang sangat menonjol dan perlu diberikan peluang untuk diserap dalam pasukan kebangsaan,” katanya.