Impian Malaysia Ke Separuh Akhir Berkecai

Speedy Tigers tidak berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25 meskipun melakar kemenangan 2-1 ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan B di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

 

Keputusan Malaysia tidak layak ke separuh akhir berikutan Pakistan memiliki kelebihan gol padang walaupun kedua-dua berkongsi empat mata dengan menerusi satu menang, seri dan kalah.

 

Malaysia mengumpul lima gol padang manakala Pakistan mencetak enam gol padang dan mengikut peraturan FIH, pasukan memiliki kelebihan itu akan layak ke pusingan seterusnya walaupun berkongsi mata sama.

 

Pada aksi bertemu Jepun, anak buah Sarjit Singh bermula baik pada suku pertama dan kedua apabila berjaya menjaringkan gol dalam setiap babak itu.

 

Gol pertama Malaysia hadir menerusi aksi luar biasa diperagakan Fitri Saari apabila memperdaya empat pemain Jepun sebelum melakukan hantaran yang mudah ditolak oleh Norsyafiq Sumantri bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil gol padang.

 

Memasuki suku kedua, skuad Speedy Tigers hanya memerlukan empat minit untuk sekali lagi merobek gawang Jepun menerusi ledakan Azrai Aizad Abu Kamal juga hasil jaringan padang untuk meletakkan Malaysia mendahului 2-0.

 

Jepun bagaimanapun enggan mengalah apabila meningkatkan momentum permainan untuk memburu gol dan peluang demi peluang dicipta mereka pada suku ketiga tetapi gagal mengatasi kekebalan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.

 

Ketika Malaysia diambang layak ke separuh akhir, Jepun memusnahkan impian itu apabila Koji Yamasaki berjaya menjaringkan gol padang empat minit terakhir pada suku keempat.

 

Malaysia memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi Marhan Jalil dan Fitri namun gagal disudahkan dalam bentuk jaringan.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan Afrika Selatan bagi perlawanan kedudukan 5 hingga 8 kejohanan itu, esok.

 

Bagi aksi separuh akhir pula menyaksikan Perancis berdepan Pakistan manakala juara bertahan, New Zealand menentang Korea Selatan.

 

Tonggak negara, Fitri mengakui sangat kecewa dengan kegagalan ini dan mengakui mereka perlu mencari jalan untuk tidak mengulangi kesilapan sama dalam setiap perlawanan.

 

Katanya, mereka sering diingatkan untuk memberi fokus terutama pada suku keempat tetapi pada perlawanan malam ini, kesilapan sama berulang lagi.

 

“Saya dan rakan sepasukan sangat kecewa walaupun menang ia belum cukup untuk membawa kami ke separuh akhir. Kami sentiasa diingatkan untuk fokus pada suku keempat dan elak lakukan kesilapan tetapi ia masih berlaku.

 

“Sangat perit untuk menerima keputusan ini. Selepas ini, kami perlu cari jalan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah (kesilapan) ini,” katanya selepas perlawanan.