Speedy Tigers Buru Kedudukan Kelima Terbaik

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan kini meletakkan sasaran menamatkan kempen Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25 di kedudukan kelima terbaik selepas impian beraksi di pentas separuh akhir tidak kesampaian.

 

Malaysia meletakkan sasaran awal iaitu layak ke separuh akhir kejohanan namun misi itu tidak kesampaian apabila menamatkan saingan Kumpulan B di tempat ketiga meskipun berkongsi empat mata dengan Pakistan di tempat kedua tetapi perbezaan gol menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

 

Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata pilihan yang pasukannya ada ketika ini adalah memburu kedudukan kelima dan Malaysia akan turun berdepan Afrika Selatan, esok dalam aksi klasifikasi tempat kelima hingga lapan.

 

Jelasnya, anak buahnya harus mendapatkan tempat kelima terbaik dan misi itu perlu dimulakan dengan menewaskan Afrika Selatan di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

 

“Saya kumpulkan pemain dengan segera sebab saya nak mereka kembali fokus untuk dapatkan nombor lima. Kami kena dapatkan nombor lima. Kami tidak boleh cakap kami akan main dalam penentuan ketujuh dan kelapan, itu tidak boleh.

 

“Benar, Afrika Selatan lawan yang sukar tetapi kami kena kalahkan mereka. Berdasarkan cara pemain kita beraksi, saya tidak nampak alasan untuk tidak melakukannya (tewaskan) mereka. Kami kena dapatkan nombor lima terbaik, tiada lagi alasan,” katanya.

 

Walaupun skuad kebangsaan masih dilanda kesedihan dan kekecewaan susulan tidak layak ke separuh akhir namun Sarjit menyeru semua pemainnya menunjukkan kebangkitan bagi mengubat duka itu.

 

Mengulas mengenai kemenangan 2-1 ke atas Jepun, semalam, Sarjit mengakui anak buahnya bermain dengan baik tetapi kegagalan jentera serangan menyudahkan peluang terhidang menjadi antara faktor mereka gagal mendapat lebih banyak gol.

 

“Kita bermain dengan baik. Kita ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi kita tidak gol. Mereka (Jepun) tiada peluang langsung dan hanya dapat pukulan sudut penalti.

 

“Kita tidak dapat (pukulan sudut penalti) tapi kita ada peluang terbuka dan sepatutnya kena manfaatkan peluang itu,” jelasnya.

 

Sarjit yang pernah mewaliki negara beraksi di Sukan Olimpik pada 1984 dan 1992 berharap penyokong-penyokong sukan hoki tempatan dapat hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan walaupun Speedy Tigers gagal ke separuh akhir.