Skuad Hoki Wanita Negara masih belum mampu mencatat kemenangan di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2 apabila tewas 4-2 kepada Uruguay dalam aksi terakhir Kumpulan A di Walcz, Poland.
Keputusan itu menyaksikan skuad Speedy Tigress berada di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata apabila sebelum ini turut kalah kepada Afrika Selatan dengan keputusan 1-3 serta 2-0 di tangan Poland.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Wanita Negara, Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun berpuas hati dengan anak buahnya kerana menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan diharungi.
Katanya, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dan beliau mengingatkan pemainnya supaya lebih berdisplin apabila bertahan.
“Kami masih ada ruang penambahbaikan di mana kita perlu lebih baik daripada segi mengawal tempo kerana kita tidak boleh ikut lawan dan kita kena lebih berdisiplin semasa bertahan.
“Kita dapat lihat peningkatan dalam aksi pertama, kedua dan hari ini (kelmarin). Pemain beraksi dengan sangat baik, mereka memberi segala-galanya, bola terkena badan, kepala dan macam-macam kecederaan tetapi pemain tetap meneruskan usaha mereka,” katanya.
Esok, skuad Speedy Tigress dijadual menentang Itali dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan dan Nasihin berharap pemainnya mampu mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut.
“Selepas ini, kita lawan Itali dan walaupun ranking mereka lebih baik namun kejohanan ini sangat terbuka. Kita akan kembali berlatih dan mengadakan sesi rakaman video untuk melakukan persiapan.
“Kita masih bersemangat untuk mendapatkan kemenangan pertama. Secara keseluruhan saya positif kita dapat memperbaiki (kedudukan) dalam kejohanan ini,” ujar pengendali berusia 50 tahun itu.