Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Australia hari ini bagi mengharungi empat aksi persahabatan melibatkan kelab-kelab di negara itu bermula esok hingga 14 Ogos ini.
Seramai 22 pemain dibawa oleh Ketua Jurulatih Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasruddin untuk mengharungi Siri Jelajah Australia tersebut dan ini merupakan pendedahan perlawanan antarabangsa ketiga dalam mempersiapkan skuad remaja negara.
Pendedahan yang diberikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) agar pasukan ini mendapat aksi berintensiti tinggi dan terbaik menjelang Piala Dunia Remaja 2025, yang bakal berlangsung dari 28 November hingga 10 Disember di Chennai, India.
Empat perlawanan yang bakal dihadapi skuad remaja negara di Siri Australia adalah berdepan UWA Hockey Team pada 7 Ogos, disusuli aksi menentang Perth Thundersticks (dua perlawanan, 11 dan 13 Ogos) dan Westside Wolves (12 Ogos) di Perth.
Menurut Nor Saiful, jelajah kali ini menjadi medan penting buat pasukannya mengukur kefahaman dan tahap kemahiran sebenar pemain selepas tiga bulan menjalani latihan pusat intensif.
“Tujuan sertai Jelajah Australia ini adalah untuk memantapkan dan membina keserasian sebagai satu pasukan serta menilai aspek teknikal dan taktikal ketika menentang pasukan yang mengamalkan gaya permainan pantas seperti Australia.
“Kita juga mahu menilai kemahiran pertahanan kerana pasukan dari Australia menerapkan kemahiran menyerang dengan laju. Kita juga mahu menilai keseluruhan peningkatan permainan setelah 3 bulan menjalani latihan pusat,” kata Nor Saiful.
Australia dikenali sebagai antara negara paling berpengaruh dalam sukan hoki dunia, dengan pendekatan permainan berasaskan serangan agresif dan transisi pantas.
Justeru, pasukan remaja negara dijangka mendapat pengalaman berharga dalam mengadaptasi tekanan dan kepantasan di padang.
Nor Saiful menjelaskan selain ingin menguji tahap persefahaman dan daya tahan taktikal, skuad negara juga meletakkan sasaran jelas sepanjang jelajah ini iaitu menang sekurang-kurangnya tiga daripada empat perlawanan, di samping meminimumkan risiko kesilapan di benteng pertahanan.
“Kami mahu lihat sejauh mana pemain mampu menyerap gaya permainan pantas Australia serta mengenal pasti kelemahan sedia ada sebelum masuk ke fasa pembetulan dalam latihan akan datang,” jelasnya.
Jelajah ini juga merupakan antara fasa penting dalam misi Nor Saiful membentuk skuad terbaik menjelang Piala Dunia Remaja 2025, yang bakal berlangsung dari 28 November hingga 10 Disember di Chennai, India, sebelum edisi seterusnya pada 2027.
Sebelum ini, skuad remaja negara turut menyertai beberapa kejohanan sebagai persiapan termasuk Siri Jelajah China pada Jun lalu serta Piala Emas MCC Murugappa All India edisi ke-96 pada Julai.
Dengan gabungan pendedahan antarabangsa dan latihan taktikal intensif, Saiful percaya skuad muda negara mampu melakar kemajuan signifikan dan memberi saingan kompetitif di pentas dunia.
Berikut merupakan senarai 22 pemain yang mengikuti Siri Jelajah Perth Australia dari 7 hingga 14 Ogos 2025.
NO | NAMA | POSISI |
1 | Muhammad Adib Amsyar b Mohammad Hanif | PENJAGA GOL |
2 | Muaz Bashir b Shabri | |
3 | Mohamad Nor Syakir b Mohamad Saini | PERTAHANAN |
4 | Muhammad Hafiezuddin b mohd Ali | |
5 | Muhammad Nabil Irfan b Mohd Yusof | |
6 | Shafiq Adam Harris b Suzaini | |
7 | Azimuddin Shakir b Kamaruddin | |
8 | Karthikesan a/l Shivamoorthy | |
9 | Amanraj Singh | TENGAH |
10 | Muhammad Atif Aqil b Zubir | |
11 | Muhammad Addy Jazmi b Jamlus | |
12 | Muhammad Handzalah b Abdul Hadi | |
13 | Yashvindraa a/l Singaravadivel | |
14 | Ammar Qusyairi b Abd Halim | |
15 | Muhammad Danish Irfan b Muhammad Saufi | |
16 | Muhammad Adam Asyraf Bin Johari | |
17 | Naveennash Panicker | PENYERANG |
18 | Muhammad Danish Aiman b Khairul Anuar | |
19 | Eswaran a/l George | |
20 | Shafiq Ammar Fahmi b Suzaini | |
21 | Mohamad Khairil Hakimi b Zainol | |
22 | Muhammad Haziq Zunnurain b Mohd Azhary |
Berikut merupakan barisan kejurulatihan dan pegawai yang akan bersama ke Siri Jelajah Perth Australia dari 7 hingga 14 Ogos 2025.
NO | NAMA | JAWATAN |
1 | Nor Saiful Zaini Nasiruddin | Ketua Jurulatih |
2 | Muhammad Fahmi Bin Khalid | Pengurus Pasukan |
3 | Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor | Penolong Jurulatih |
4 | Kaliswaran Muniandy | Penolong Jurulatih |
5 | Mohammad Hairi Abd Rahman | Jurulatih Penjaga Gol |
6 | Dervan V.R.Cramathandran | Fisio |
7 | Ammar Danial Rahmat | Masseur |
8 | Mohd Hanafi Hassan | Penganalis Prestasi (Video) |
Berikut merupakan jadual perlawanan aksi persahabatan di Perth, Australia.
NO | HARI / TARIKH | MASA | PERLAWANAN | ||
1 | 07.08.2025
KHAMIS |
6:00 PM | YOUNG TIGERS | Lawan | UWA HOCKEY TEAM |
2 | 11.08.2025
ISNIN |
6:00 PM | YOUNG TIGERS | Lawan | PERTH THUNDERSTICK |
3 | 12.08.2025
SELASA |
7:00 PM | YOUNG TIGERS | Lawan | WESTSIDE WOLVES |
4 | 13.08.2025
RABU |
7:00 PM | YOUNG TIGERS | Lawan | PERTH THUNDERSTICK |
** Masa perlawanan adalah waktu Malaysia