Pasukan SSTMI-PKS-UNITEN mengekalkan dominasi mereka dalam kategori perempuan apabila muncul juara Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025 selepas menewaskan Mutiara-MSSPP-PSHA-UNITEN 4-1 pada aksi final.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, tirai jaringan dibuka bermula dengan gol pembukaan oleh Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti. Dua minit kemudian, giliran Nur Safiya Maisara Badrul Hisham menambah jaringan, juga hasil pukulan sudut penalti untuk meletakkan SSTMI-PKS-UNITEN mendahului 2-0.
Mutiara-MSSPP-PSHA-UNITEN bagaimanapun cuba bangkit apabila Nurhanie Najwa Tarmizi merapatkan kedudukan pada minit ke-26, namun segala usaha pasukan itu dipadam apabila SSTMI-PKS-UNITEN kembali garang di separuh masa kedua.
Nur Iman sekali lagi meledak gol pada minit ke-34 menerusi gol padang sebelum Nur Zuha Qistina Ridzuan memastikan kemenangan bergaya dengan jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.
Ketua Jurulatih SSTMI-PKS-UNITEN, Mohd Khairul Izwan Kamdi menyifatkan kemenangan ini adalah hasil daripada disiplin tinggi dan taktikal yang lebih kemas berbanding pada aksi separuh akhir.
Jelasnya, para pemain juga menunjukkan komitmen cukup tinggi dan berjaya menyerap tekanan di pentas final dengan cukup baik
“Alhamdulillah, strategi berjalan dengan baik. Pemain berjaya memegang penguasaan bola dengan lebih baik, mengurangkan kesilapan dan memberi tekanan kepada lawan sejak suku pertama.
“Dua gol awal memberikan keyakinan kepada pemain dan dua lagi gol pada babak akhir terus menutup ruang kebangkitan pihak lawan. Taktikal permainan kami lebih menjadi. Struktur permainan lebih kemas berbanding ketika aksi separuh akhir,” katanya selepas perlawanan.
Kejayaan ini juga menyaksikan SSTMI-PKS-UNITEN mengekalkan rekod juara sejak 2022 hingga kini, ditambah dengan gelaran pada 2016, 2017 dan 2019, ia menjadikan mereka sudah tujuh kali merangkul kejuaraan MJHL kategori perempuan.
“SSTMI berjaya mengekalkan kejuaraan TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan Perempuan sejak 2022 sehingga sekarang. Kerja keras pemain berlatih sejak dua bulan lepas telah membuahkan hasil, ini membuktikan dominasi SSTMI dalam kejohanan ini bagi kategori perempuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Akademi Hoki MBPJ meraih kedudukan ketiga kejohanan itu selepas menewaskan SSTMI-PKS UNITEN Juniors 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out, apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi masa sebenar.









