Lapan Pemain Negara Sertai Festival Hoki Antarabangsa, Darwin Australia

Jalinan kerjasama yang dimeterai antara Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersama Northern Territory dan Territory Stingers pada 25 November 2024, tidak hanya terhenti setakat penampilan di TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 tetapi kini jalinan kerjasama itu menyaksikan lapan pemain Malaysia akan bergabung bersama Territory Stingers sebagai sebuah pasukan yang akan beraksi di Festival Hoki Antarabangsa, Darwin Australia.

 

Penampilan pemain Malaysia pada festival ini bermula 29 Ogos hingga 3 September 2025 dengan dua perlawanan akan disertai di mana perlawanan pertama bertemu The Blackstick (New Zealand) pada 30 Ogos dan bertemu pasukan yang sama sekali lagi pada 1 September di Marrara Hockey Centre, Darwin Australia.

 

Lapan pemain tersebut ialah penjaga gol, Adrian Andy Albert, Abdul Khaliq Hamirin, Mughin Mohamad Kamal, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar, Amanraj Singh, Mohammad Nor Syakir Hafiz, Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali, dan Yashvindraa Singaravadivel.

 

Perlawanan yang diatur menerusi festival ini juga adalah sebagai salah satu langkah bagi memastikan ibu kota Wilayah Utara, Australia, Darwin, bersedia dengan penganjuran Piala Oceania pada September nanti yang turut menawarkan slot ke Hoki Piala Dunia 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KHM, En. V. Jayanandhan melihat ini merupakan satu jalinan kerjasama yang cukup sihat selain ia turut memberikan impak positif kepada pemain-pemain Malaysia yang mendapat peluang beraksi bersama pasukan kelab antarabangsa menentang pasukan terbaik dunia.

 

“Saya berharap lebih banyak jalinan kerjasama seperti ini akan diteruskan kerana ia bukan hanya memberikan impak kepada kami selaku badan induk, tetapi juga memberikan manfaat kepada pemain-pemain kebangsaan.

 

“Seperti karnival yang akan berlangsung ini, bukan hanya pemain senior mendapat peluang untuk beraksi tetapi juga pemain-pemain muda turut diberikan peluang yang sama dan pengalaman ini pastinya berharga untuk mereka,” jelasnya yang turut berterima kasih kepada Northern Territory yang telah menanggung keseluruhan kos bagi lapan pemain Malaysia ke Darwin.