Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan menutup saingan Kumpulan B kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India dengan penuh bergaya apabila berpesta gol selepas membelasah Taiwan 15-0, hari ini.
Kemenangan besar tersebut memastikan Speedy Tigers mengekalkan rekod bersih pada kejohanan itu, apabila turut menewaskan Bangladesh dan Korea Selatan dalam dua perlawanan terdahulu dengan keputusan 4-1.
Paling mencuri tumpuan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Rajgir, adalah Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang mencetak lima jaringan, diikuti empat gol disumbangkan oleh Mohamad Ashran Hamsani.
Turut mencetak nama selaku penjaring adalah Norsyafiq Sumantri yang menjaringkan tiga gol selain masing-masing satu gol menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Andywalfian Jeffrynus dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.
Skuad bimbingan Sarjit Singh itu meneruskan kemaraan ke pusingan ‘Super Four’ yang dijadualkan bermula Rabu ini dengan diiringi Korea Selatan selaku naib juara Kumpulan B. Dua lagi pasukan sudah yang turut mara ke saingan ‘Super Four’, termasuk Malaysia, Korea Selatan adalah India dan China.
Bagi Ketua Jurulatih Suad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh berkata secara keseluruhan semua pemain memberi komitmen yang tinggi dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan ini.
Sarjit mengakui masih ada ruang dan perkara yang perlu dipertingkatkan supaya pasukan menjadi lebih sempurna.
“Esok kita akan buat sesi latihan dan perbaiki serta tingkat lagi tahap permainan. Kita kena lebih tajam dalam menyudahkan peluang dan perlu bertahan dengan baik.
“Sasaran awal kita adalah berada dalam kedudukan empat terbaik dan kini kita berada di kedudukan itu. Untuk pusingan ‘Super Four” akan lebih sukar kerana kita akan bermain empat perlawanan dalam lima hari.
“Jadi proses pemulihan sangat penting, masalah kecederaan menjadi kebimbingan besar dengan kita ada dua hingga tiga pemain cedera ketika ini,” katanya.
Jelas Sarjit, untuk memburu tempat ke final, skuad negara perlu sekurang-kurangnya mendapatkan dua kemenangan bagi meraih enam mata.
Perkara itu bukan sesuatu yang mustahil jika semua pemain berada pada tahap terbaik dan bebas daripada kecederaan.
“Pusingan ini kita kena bermain semula menentang Korea Selatan, India serta China. Kita perlu mendapatkan enam mata keseluruhan untuk mara ke final.
“Saya harap semua pemain dapat bermain di tahap prestasi terbaik dan bagus. Memanfaatkan semua peluang dan bertahan dengan baik, ia akan menjadi peluang terbaik untuk kita ke final,” jelasnya.
Untuk rekod, juara saingan Piala Asia akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium/Belanda tahun depan.









