Peluang Malaysia Ke Final Masih Terbuka

Harapan Malaysia untuk mara ke pentas final Kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India masih belum tertutup biarpun tewas kepada India 1-4 pada aksi kedua ‘Super Four’, hari ini.

 

Pertemuan terakhir berdepan Korea Selatan, Sabtu ini menjadi penentu buat Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan bagi merealisasikan impian melangkah ke perlawanan akhir.

 

Skuad kendalian Sarjit Singh tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan mutlak ke atas Korea Selatan, sekali gus menghidupkan peluang Speedy Tigers merebut slot final yang diidamkan.

 

Pada aksi di Stadium Hoki Bihar Sports University, Speedy Tigers bermula positif apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi gol padang Muhammad Shafiq Hassan.

 

Bagaimanapun, India bangkit dengan empat gol masing-masing menerusi Manpreet Singh yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17, disusuli ledakan Sukhjeet Singh hasil gol padang dua minit kemudian.

 

Shilanand Lakra dan Vivek Sagar Prasad menggandakan kedudukan buat tuan rumah masing-masing pada minit ke-24 dan m-38 sekali gus memberi kemenangan pertama buat India dalam ‘Super Four’ berikutan seri 2-2 dengan Korea Selatan, semalam.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata : “Pada 15 minit awal kita bermain dengan baik tetapi selepas itu kita ada buat beberapa kesilapan. Suku kedua di mana kita dibolosi tiga gol dan membuat kita berdepan kesukaran.

 

“Persembahan bagus dan kita sentiasa bertambah baik dan saya harap kita mampu ke final. Pada perlawanan hari ini ada beberapa perkara perlu diperbaiki antara apabila mengawal pemain lawan kita perlu di depan bukan di belakang.

 

“Kita bukan dalam kesukaran tapi peluang masih ada dengan syarat kita perlu tewaskan Korea Selatan untuk mara ke final,” kata Sarjit selepas perlawanan.

 

Dalam satu lagi perlawanan, menyaksikan China menang 3-0 ke atas Korea Selatan.

 

Dalam saingan ‘Super Four’, India mendahului carta dengan empat mata, diikuti China yang berkongsi mata dengan Malaysia di kedudukan kedua sementara Speedy Tiger yang dipisahkan dengan perbezaan gol ditempat ketiga manakala Korea Selatan menghuni tangga terakhir selepas mengutip satu mata.