Skuad hoki wanita negara meneruskan momentum kemenangan dalam aksi kedua klasifikasi penentuan tempat ke-5 hingga ke-8 Piala Asia 2025, apabila membelasah Thailand 6-2 di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Hangzhou hari ini.
Malaysian Tigress membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti (PC) disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin, sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menggandakan kedudukan pada minit ke-21.
Thailand merapatkan kedudukan menerusi jaringan PC oleh Supansa Samanso pada minit ke-28, namun Nuramirah Shakirah Zulkifli kembali melebarkan jurang dua minit kemudian menerusi gol padang untuk menutup separuh masa pertama, Malaysia mendahului 3-1.
Bersambung suku ketiga, skuad negara tidak menunggu lama apabila giliran Azmyra Mia Sofea Azhari meledak gol keempat pada minit ke-35, namun Thailand juga menambah jaringan hasil penalti stroke disudahkan Samanso pada minit ke-42 untuk Thailand.
Begitupun, Malaysian Tigress terus garang apabila menambah dua lagi gol menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-43) dan Nuramirah Shakirah (m-45) bagi memastikan kemenangan bergaya 6-2 menjadi miliki skuad negara sekali gus mencerahkan peluang untuk menamatkan kempen Piala Asia Wanita di kedudukan kelima terbaik.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim jelas berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak buahnya, selain disiplin tinggi mereka termasuk berjaya memanfaatkan peluang sejak awal permainan.
“Alhamdulillah, para pemain hari ini menunjukkan persembahan yang baik. Dari awal kita mencipta banyak peluang dan menjaringkan enam gol yang baik. Walaupun melepaskan dua gol, pemain tetap kekal fokus sehingga tamat permainan,” katanya.
Mohd Nasihin turut memuji peningkatan ketara dalam pelaksanaan pukulan sudut penalti yang jelas menjadi faktor penentu kemenangan pasukan pada perlawanan ini.
“Permainan PC kita agak baik dan pemain berjaya menyempurnakan peluang yang ada. Ia memberikan keyakinan tambahan untuk aksi seterusnya,” ujarnya.
Mengulas berkenaan persiapan menjelang aksi menentang Taiwan, Mohd Nasihin menekankan beberapa kelemahan terutama daripada aspek penyudah dan benteng pertahanan perlu segera diperbaiki bagi memastikan skuad negara tampil lebih kemas.
“Kami akan terus fokus kepada latihan, khususnya memperbaiki penyudah dan kekuatan bertahan. Dua perlawanan ini penting untuk dijadikan pengalaman berharga sebagai persediaan ke Sukan SEA,” ujarnya.
Malaysia akan berdepan Taiwan dalam aksi klasifikasi seterusnya dan dijangka skuad negara tidak berdepan masalah berikutan, pernah dibelasah lawan sama 11-1 pada peringkat kumpulan.









