Malaysian Tigress Buru Penamat Terbaik

Skuad hoki wanita negara dilihat memiliki peluang cerah untuk menamatkan kempen Piala Asia 2025 di Hangzhou, China, sebagai pasukan kelima terbaik Asia berdasarkan prestasi semasa mereka ketika ini.

 

Dalam aksi ’round robin’ klasifikasi penentuan tempat ke-5 hingga ke-8 menyaksikan Malaysian Tigress mencatat rekod bersih dengan merekodkan kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan di pusingan berkenaan dan pada aksi ketiga pusingan itu, Taiwan terus menjadi ‘mangsa belasahan’ skuad hoki wanita negara apabila tewas 8-0, hari ini.

 

Untuk rekod, Malaysia memulakan aksi ’round robin’ klasifikasi penentuan tempat ke-5 hingga ke-8, dengan langkah kanan menewaskan Singapura 5-1 dan menjinakkan Thailand 6-2.

 

Pada aksi di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Hangzhou, kesemua lapan gol tercipta pada babak pertama bermula dengan ledakan Siti Nur Arfah Mohd Nor menerusi gol padang pada minit ke-3.

 

Pesta gol Malaysian Tigress diteruskan dengan jaringan Nur Afiqah Syahzani Azhar yang menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian.

 

Nuramirah Shakirah Zulkifli meledak dua gol masing-masing pada minit ke-10 dan m-16, disusuli jaringan Siti Nur Arfah pada minit ke-18 menerusi gol padang.

 

Nur Aisyah Che Musa tidak melepaskan peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring gol buat Malaysia apabila meledak gol padang pada minit ke-20, Hanis Nadiah Onn menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian dan Nur Afiqah menutup kemenangan bergaya tersebut dengan gol padang di m-29.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim memuji permainan diperagakan pemain-pemain terutama pada suku pertama dan kedua, di mana berjaya menghasilkan lapan gol.

 

Katanya, pada separuh masa kedua, pemain-pemain masih bermain dengan baik dan mencipta peluang, selain turut menyimpan tenaga bagi persediaan pada perlawanan terakhir di kejohanan itu.

 

“Alhamdullilah kita menang lagi hari ini, permulaan yang baik di suku pertama dan kedua, kita menghukum pihak lawan dengan permainan begitu cemerlang dan gol yang cantik.

 

“Namun di suku ketiga dan keempat, dua pemain mengalami kecederaan, selain pemain cuba mengawal tenaga mereka bagi persiapan menjelang perlawanan seterusnya. Arahan kita untuk sentiasa memberikan tekanan kepada lawan juga diikuti dengan baik oleh para pemain.

 

Mohd Nasihin menyeru para pemain untuk mengekalkan momentum ini untuk perlawanan terakhir berdepan sama ada Singapura atau Thailand bagi memastikan keputusan terbaik mampu dibawa pulang ke tanah air.

 

“Kita harap untuk perlawanan terakhir kita bertemu sama ada Singapura atau Thailand, pemain-pemain dapat berikan yang terbaik sebagaimana mereka berikan sepanjang kejohanan ini.

 

“Jadi untuk perlawanan terakhir ini, saya mengharapkan pemain bersedia daripada segi mental dan fizikal. Mereka perlu kekalkan semangat berjuang seperti pahlawan. Bagi saya mereka boleh lakukan dan akan turun bermain bermati-matian pada perlawanan terakhir nanti,” katanya.