Malaysian Tigress Ke-5 Terbaik Asia

Malaysian Tigress memastikan mereka pulang ke tanah air dengan keputusan membanggakan apabila menamatkan kempen Piala Asia 2025 di Hangzhou, China, sebagai pasukan kelima terbaik di kejohanan tersebut.

 

Kejayaan itu diperolehi selepas skuad hoki wanita negara membelasah Singapura 8-1 pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam, di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Hangzhou, hari ini.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun terpaksa menurunkan dua pemain simpanan iaitu Anith Humairah Baharudin dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi berikutan kecederaan dialami Nur Insyirah Effarizal serta Khairunnisa Ayuni Sharuddin. Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain berkenaan mencetak nama sebagai penjaring.

 

Pada perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Singapura menerusi penyudah pukulan sudut penalti disempurnakan Chia Cheryll pada minit keempat.

 

Tersentak dengan jaringan itu, skuad hoki wanita negara mula mengatur semula gerakan untuk mencari gol penyamaan dan usaha itu akhirnya berhasil pada minit ke-18 menerusi gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar.

 

Jaringan itu, menjadi pemacu kepada permulaan pesta gol Malaysia apabila tujuh gol lagi menyusul bagi memastikan kemenangan bergaya Malaysian Tigress di perlawanan tersebut.

 

Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menggandakan kedudukan buat Malaysia apabila menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32, disusuli ledakan Anith Humaira Baharudin hasil penalti stroke enam minit kemudian, untuk mendahului Singapura 3-1.

 

Skuad kendalian Mohd Nasihin terus garang menambah lima lagi gol masing-masing menerusi Nuramirah Shakirah Zulkifli yang menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-39, kemudian Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi meledak gol padang pada minit ke-45.

 

Nuramirah Shakirah sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-46, disusuli jaringan Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-51) dan Nur Aisyah Che Musa menutup pesta gol buat negara lapan minit sebelum perlawanan tamat.

 

Pengendali Malaysian Tigress, Mohd Nasihin secara keseluruhan berpuas hati dengan kebangkitan luar biasa ditunjukkan anak buahnya terutama pada suku ketiga dan keempat.

 

Jelasnya, masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan menjadi lebih sempurna dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

 

“Alhamdullilah untuk perlawanan hari ini kita berjaya melakar kemenangan dan meraih kedudukan lima terbaik di Piala Asia.

 

“Walaupun pada suku pertama dan kedua pemain-pemain bermain agak teruk tetapi pada suku ketiga dan keempat mereka menunjukkan kebangkitan luar biasa. Itu adalah satu perkara yang agak susah selepas Singapura memberi tekanan dan menjaringkan gol awal.

 

“Untuk perlawanan ini juga banyak perkara yang perlu kita perbaiki terutama stamina, kekuatan fizikal dan juga teknikal hoki. Saya menyeru pemain-pemain untuk memberikan yang terbaik selepas ini terutama pada sesi latihan.

 

“Saya akan menekan mereka untuk tidak memberi alasan dan bekerja keras agak kita dapat mara lebih jauh. Kita tahu, ada banyak ruang untuk melakukan penambahbaikkan dan meningkatkan prestasi pasukan,” katanya  selepas perlawanan.

 

Mohd Nasihin juga bersedia mempersiapkan pasukannya bermula sekarang bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia tahun depan.

 

“Untuk kelayakan Piala Dunia saya pasti, kita akan fokus kepada segala kelemahan, bergerak bersama terutama dengan bantuan jurulatih-jurulatih lain serta memberi tumpuan di setiap bahagian.

 

“Pengalaman di sini berdepan pasukan-pasukan terbaik Asia memberi kita gambaran jelas untuk memperbaiki apa kekurangan dan apa yang perlu diperkuatkan. Kita akan terus bergerak ke hadapan dan berjuang terus ke hadapan,” ujarnya.