Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 bakal membuka tirai pada 1 hingga 11 Oktober ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan menyajikan saingan edisi ke-63 kategori lelaki dan edisi ke-10 bagi kategori wanita.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, sebanyak 76 perlawanan akan dilangsungkan sepanjang kejohanan kali ini, melibatkan 13 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita.
Kejohanan edisi ini turut menyaksikan seramai 47 pemain kebangsaan bagi skuad senior dan remaja lelaki tidak dibenarkan beraksi sekali gus membuka ruang serta peluang kepada bakat baharu untuk menyerlah.
“Untuk makluman semua, seramai 24 pemain senior lelaki dan 23 pemain remaja lelaki negara tidak dibenarkan beraksi kerana mereka terlibat dalam persiapan pasukan kebangsaan.
“Skuad senior akan beraksi di Piala Sultan Azlan Shah, manakala pasukan remaja pula di Piala Sultan Johor,” kata Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu.
Bagi kategori lelaki, Kumpulan A dihuni juara bertahan, Terengganu bersama ATM, Kuala Lumpur, Sabah, Perlis, PDRM dan Kedah, manakala Kumpulan B dibarisi Pahang, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.
Tiga pasukan iaitu Johor, Kelantan dan Sarawak tidak menghantar penyertaan pada musim ini.
Sementara itu, saingan wanita disertai 11 pasukan dengan Kumpulan A melibatkan juara bertahan Young Tigress bersama Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Kumpulan B pula menampilkan Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Kedah.
Enam pasukan tidak menghantar penyertaan bagi musim ini iaitu Perlis, Johor, Kelantan, Sarawak, PDRM dan ATM.
Beberapa kelainan dibawa dalam kejohanan kali ini dengan memperkenalkan pembaharuan waktu aksi final akan diadakan pada pukul 6 petang, berbeza dengan kebiasaan yang berlangsung pada 8 malam.
Kejohanan ini juga menampilkan empat anugerah khas berbanding tiga pada edisi lalu, iaitu Fairplay, Penjaring Terbanyak, Pemain Terbaik Kejohanan serta Penjaga Gol Terbaik.
“Pada tahun sebelumnya, hanya tiga anugerah diberikan iaitu Fairplay, Penjaring Gol Terbanyak dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir,” kata Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu.
Dengan ketiadaan pemain kebangsaan kali ini, dijangka bakal memberi peluang luas kepada barisan pemain lain untuk menyerlah di pentas kebangsaan.
Ia juga bakal menjadi medan penting buat jurulatih negara dalam usaha mengesan bakat baharu yang mampu diserap ke dalam skuad Speedy Tigers pada masa hadapan.









