Juara bertahan kategori lelaki dan wanita memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan penuh bergaya dalam aksi pembukaan kumpulan masing-masing, Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Terengganu yang turun sebagai juara bertahan kategori lelaki tidak berdepan masalah menewaskan Kedah 3-0 dalam aksi pertama mereka dalam Kumpulan A.
Kemenangan itu membuktikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom masih berada di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran edisi lalu meskipun berdepan cabaran hebat daripada pasukan-pasukan lain yang turut mengidamkan kejuaraan.
Dalam perlawanan lain Kumpulan A, ATM meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Perlis 4-3 dalam aksi sengit yang penuh dramatik, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar utama kejohanan.
Kuala Lumpur pula berjaya menundukkan Sabah 1-0 dalam perlawanan yang menyaksikan pertahanan kedua-dua pasukan beraksi cemerlang.
Tumpuan turut terarah kepada saingan Kumpulan B apabila Perak membuktikan keampuhan mereka dengan menundukkan Pulau Pinang 4-2.
Negeri Sembilan pula menewaskan Selangor 3-1, sekali gus memberi kekalahan kedua buat skuad bimbingan S.Sri Sakrunathan dalam kempen kali ini.
Pertembungan antara Pahang dan Melaka pula berkesudahan 3-3 apabila sekali gus berkongsi satu mata.
Saingan kategori wanita tidak kurang menarik apabila skuad remaja negara dan juga juara bertahan, Young Tigress, mempamerkan aksi meyakinkan selepas membelasah Melaka 5-2 dalam perlawanan Kumpulan A.
Perak turut cemerlang dalam kumpulan yang sama apabila menundukkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Dalam Kumpulan B, Kedah berhempas pulas sebelum akur tewas 2-3 di tangan Pahang.
Selangor pula meneruskan pesta gol mereka selepas melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Sabah, menjadikan ia kemenangan kedua berturut-turut dengan jumlah jaringan yang cukup selesa.
Kejohanan edisi ke-63 bagi kategori lelaki dan edisi ke-10 untuk wanita ini sekali lagi menjadi medan penting dalam kalendar hoki negara, bukan sahaja sebagai perebutan kejuaraan berprestij, malah medan pencarian bakat baharu buat skuad kebangsaan.
Dengan saingan awal yang sudah memperlihatkan kejutan serta perlawanan mendebarkan, edisi kali ini dijangka berlangsung lebih sengit dan terbuka, sekali gus menjanjikan aksi dramatik sepanjang kejohanan berlangsung dari 1 hingga 11 Oktober.









