Drama Sengit Warnai Hari Keempat TNB Piala Tun Abdul Razak 2025

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak Lelaki edisi ke-63 dan Wanita edisi ke-10 semakin rancak apabila memasuki hari keempat.

 

Kesemua perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, menampilkan aksi penuh dramatik bagi mewarnai perebutan trofi itu.

 

Tumpuan hari ini terarah kepada saingan Kumpulan A lelaki yang menyaksikan pertembungan sengit antara PDRM dan Sabah berkesudahan dengan keputusan seri 4-4. Aksi tersebut berlangsung penuh debaran dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan hingga ke minit terakhir.

 

PDRM bermula cemerlang hasil sentuhan berbisa ketua pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim, yang membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti. Beliau terus menambah dua lagi gol berturut-turut pada minit ke-18 dan 19, juga menerusi sudut penalti, untuk melengkapkan hatrik pantas.

 

Namun Sabah enggan mengalah apabila Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah mula menghidupkan peluang pasukannya dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-37. PDRM cuba menjauhkan diri menerusi jaringan padang Jayson Jainol yang meletakkan mereka selesa dengan kedudukan 4-1.

 

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Sabah bangkit dengan penuh semangat. Mohamad Faid sekali lagi menjadi wira apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-41. Rentak semakin berpihak kepada Sabah selepas Muhamad Salman Sudirman menjaringkan gol padang pada minit ke-48.

 

Kebangkitan luar biasa Sabah dilengkapkan oleh Samrin Asri yang menyumbang gol penyamaan pada minit ke-52. Keputusan 4-4 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus membuktikan karakter juang Sabah selain menjadi amaran kepada pasukan lain dalam kumpulan.

 

Sementara itu, juara bertahan Terengganu terus mempamerkan penguasaan mutlak apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut. Kali ini Perlis menjadi mangsa apabila tunduk 5-1 kepada skuad Pantai Timur.

 

Kemenangan besar itu meletakkan Terengganu selesa di puncak Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata penuh. Rekod tanpa kalah mereka setakat ini menjadikan skuad itu pasukan pilihan untuk mara ke pusingan akhir.

 

Dalam saingan wanita Kumpulan B pula, Selangor dan Pahang terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat 2-2 dalam perlawanan seimbang.

 

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan agresif namun gagal memecahkan kebuntuan pada saat-saat akhir.

 

Sabah pula mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang, manakala Terengganu berjaya menewaskan Kedah 2-1.

 

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan pasukan-pasukan pilihan dalam kelompok wanita, menjadikan saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 semakin menarik untuk diikuti pada perlawanan-perlawanan seterusnya.