Aksi hari kelima Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 menyaksikan dua pasukan, Young Tigress dan Pahang, berpesta gol dengan menundukkan lawan masing-masing di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Turun sebagai juara bertahan kategori wanita, skuad Young Tigress kendalian Lailin Abu Hassan terus menunjukkan taring apabila membelasah Negeri Sembilan 5-0 untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut.
Kemenangan bergaya itu membolehkan mereka mendahului Kumpulan A dengan kutipan penuh sembilan mata, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai pasukan pilihan kejohanan.
Bintang perlawanan, Zati Alyani Muhamad Zubir, mencuri tumpuan apabila meledak tiga gol manakala Nur Aina Liyana Zulkifli dan Nur Zariefah Dania Mazlan masing-masing turut menyumbang satu jaringan bagi melengkapkan pesta gol skuad muda negara itu.
Mengulas kemenangan bergaya pasukannya, ketua jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hassan, tetap mengingatkan pemain agar tidak terlalu selesa walaupun berjaya mengutip keputusan sempurna setakat ini.

“Alhamdulillah, tiga kemenangan dan sembilan mata itu memang matlamat pasukan untuk mengekalkan kejuaraan. Walaupun mencapai kemenangan, masih banyak kerja rumah perlu dilakukan oleh pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Pemain perlu perbaiki aspek dalam membuat keputusan lebih tepat, lebih agresif dalam semua situasi serta tajam ketika mencipta peluang gol,” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Perak turut melakar kemenangan penting selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0, hasil jaringan Nur Zuha Qistina Ridzuan dan Nur Adriana Mohamad Ridwan.
Sementara itu, dalam saingan kategori lelaki Kumpulan A, pasukan Kedah terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur, sekali gus merekodkan kekalahan keempat berturut-turut.
Di Kumpulan B pula, Melaka menambah derita Selangor dengan kemenangan 4-2, memberikan pasukan dari Lembah Klang itu kekalahan keempat berturut-turut.
Namun sorotan utama hari ini sudah pasti milik Pahang yang berpesta gol menewaskan Pulau Pinang 7-0 dalam aksi penuh dominasi.
Dalam perlawanan lain, Perak mengesahkan tiga mata berharga selepas menundukkan Negeri Sembilan 2-1.
Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak Lelaki edisi ke-63 dan Wanita edisi ke-10 berlangsung pada 1 hingga 11 Oktober dan semua perlawanan bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.









