Skuad hoki remaja negara hampir meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2025, bagaimanapun akur dengan satu mata yang diraih selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Australia dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.
Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin menampilkan semangat juang tinggi dengan aksi lebih tersusun berbanding perlawanan pembukaan menentang Pakistan, sekali gus menunjukkan peningkatan positif dalam corak permainan mereka.
Seawal minit pertama, Australia mempamerkan corak menyerang dan hampir membuka jaringan menerusi Oliver Will pada minit ke-9, namun penjaga gol negara, Haziq Muizuddin Hairul Mizan bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.
Skuad Young Tigers terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan Azimuddin Shakir Kamaruddin tidak mensia-siakan peluang itu untuk melakukan pukulan deras menewaskan penjaga gol Australia.
Walaupun diasak bertubi-tubi selepas itu, benteng pertahanan negara kekal disiplin sebelum Ian Grobbelaar menyamakan kedudukan buat Australia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47.
Pengendali Young Tigers, Nor Saiful mengakui keputusan seri itu memberi keyakinan baharu kepada pemainnya selepas aksi pertama yang agak goyah.
Katanya, untuk pusingan round robin ini, skuad negara perlu sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kedudukan empat terbaik.
“Kita buat sedikit perubahan taktikal dan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi. Sebenarnya ada ketika kita berpeluang untuk menang.
“Kita dapat satu mata hari ini dan sasaran utama masih sama iaitu memburu kedudukan podium. Setiap perlawanan kita kena fokus dan kutip mata untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik,” katanya.
Jurulatih berpengalaman itu turut menegaskan pasukannya kini akan menumpukan perhatian kepada pertemuan menentang New Zealand, Selasa ini sambil mahu anak buahnya memperkemas aspek pukulan sudut penalti dan penyudah serta kurang melakukan kesilapan di dalam kawasan D.
“Kita akan turun dengan misi menang berdepan New Zealand, tapi bukan mudah kerana semua pasukan di sini kuat. Pemain perlu bermain dengan disiplin dan kurangkan kesilapan,” ujarnya.
Keputusan seri itu menyaksikan Young Tigers mengutip satu mata selepas dua perlawanan dan kini bertekad menampilkan aksi lebih bertenaga bagi memburu kemenangan pertama dalam saingan round robin SOJC 2025.









